Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Alkhair Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keganasan yang terus berlaku di selatan Thailand susulan kematian lima anggota renjer Thailand dalam serangan di sebuah pusat pemeriksaan di daerah Ra-ngae, Narathiwat.
Pertubuhan itu menegaskan, keganasan yang melibatkan nyawa manusia tidak boleh dijadikan jalan untuk mencapai sebarang matlamat politik, ideologi atau perjuangan
Pada masa sama, Alkhair Malaysia turut melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan penangkapan sewenang-wenangnya, penderaan serta pencabulan hak orang awam yang berterusan di tiga wilayah bergolak di selatan Thailand.
“Kami menegaskan bahawa keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak asasi manusia. Sebarang tindakan terhadap orang awam mestilah berlandaskan undang-undang, prosedur yang telus dan prinsip keadilan.
“Sebarang bentuk penderaan, penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan dan orang awam adalah tidak boleh diterima serta mesti dihentikan segera,” kata pertubuhan itu menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Alkhair Malaysia mendesak pihak berkuasa Thailand menjalankan siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh terhadap semua insiden keganasan serta dakwaan pencabulan hak asasi manusia di wilayah berkenaan.
Pihaknya juga menuntut agar segala bentuk kekebalan terhadap pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang dihentikan.
“Tiada mana-mana pihak, termasuk pihak berkuasa, boleh berada di atas undang-undang. Alkhair Malaysia percaya pendekatan bersenjata dan tindakan keras semata-mata tidak akan menyelesaikan konflik yang berlarutan sekian lama.
“Sebaliknya, tindakan sedemikian hanya berpotensi memperdalamkan trauma, kebencian dan kitaran keganasan dalam kalangan masyarakat awam,” ujar kenyataan sama.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, lima anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45 terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae, Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Alkhair Malaysia kecam keganasan, pencabulan hak asasi di selatan Thailand appeared first on Kosmo Digital.
