Auto Added by WPeMatico

![]()
DAHULU apabila berlaku sesuatu yang mengelirukan, orang akan mencari mereka yang dianggap paling tahu.
Doktor dirujuk apabila sakit, guru ditanya mengenai pendidikan, peguam dijadikan panduan mengenai undang-undang dan wartawan pula menjadi penghubung antara sesuatu kejadian dengan maklumat boleh dipercayai.
Hari ini, jawapan boleh muncul lebih pantas sebelum fakta sebenar disahkan. Sebuah video pendek yang tular sudah cukup untuk melahirkan ratusan ‘pakar’ di media sosial.
Ada yang terus memberikan tafsiran undang-undang, menganalisis keadaan kesihatan, menjelaskan punca sesuatu kejadian dan tidak kurang juga menyimpul ironi hanya berdasarkan beberapa saat rakaman.
Tidak perlu kelayakan, pengalaman atau bukti kukuh, memadai suara meyakinkan, gaya bahasa mudah difahami serta ramai pengikut.
Fenomena itu membawa kepada satu persoalan yang semakin penting dalam kehidupan digital iaitu siapa sebenarnya yang kita percaya?
Laporan Digital News Report 2026 oleh Reuters Institute menunjukkan tahap kepercayaan keseluruhan terhadap berita di Malaysia berada pada 30 peratus, turun daripada 37 peratus dalam dua tahun sebelumnya.
Angka itu memberi gambaran bahawa isu kepercayaan terhadap sumber maklumat bukan sekadar persepsi, sebaliknya menjadi cabaran nyata kepada ekosistem media.
Ketua Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Aisah Meri menegaskan peranan media dalam keadaan lambakan maklumat digital semakin penting.
Menurutnya, media arus perdana berperanan sebagai balancing force dan gatekeeper dalam menapis maklumat yang beredar di ruang digital.
“Tugas wartawan hari ini bukan lagi sekadar melaporkan sesuatu kejadian, tetapi turut memastikan kesahihan maklumat sebelum ia sampai kepada masyarakat.
“Platform digital pula memberi peluang kepada orang awam berkongsi pengalaman, membongkar sesuatu isu dan menarik perhatian terhadap perkara yang mungkin terlepas daripada radar institusi.
“Masalahnya muncul apabila pengalaman peribadi, pendapat dan fakta mula diletakkan pada kedudukan yang sama dan dari situlah lahirnya ‘pakar’ segera ini,” katanya kepada Kosmo!.
Justeru, cabaran sebenar bukan lagi sekadar membezakan antara berita benar dan palsu, tetapi menentukan siapa yang layak dipercayai untuk menerangkan sesuatu perkara.
Pensyarah Media dan Komunikasi Monash University Malaysia, Dr. Benjamin Loh menyifatkan populariti bukan bukti kepakaran, jumlah tontonan bukan bukti ketepatan, manakala keyakinan ketika bercakap bukan jaminan seseorang itu mempunyai jawapan yang benar.
“Masyarakat juga perlu belajar membezakan antara pempengaruh berkongsi pengalaman dengan individu yang mendakwa memberikan kepakaran,” ujarnya.
Jelasnya, dalam dunia serba pantas, kita mungkin tidak mampu menyemak setiap perkara secara sempurna.
Namun, sekurang-kurangnya kita masih boleh berhenti seketika sebelum percaya, melihat semula sumber, menilai kepakaran dan bertanya sama ada kenyataan itu disokong fakta atau sebaliknya. -KOSMO! ONLINE
The post Doktor dan peguam, ‘pakar online’ lebih dipercayai appeared first on Kosmo Digital.
