
![]()
SOLNA – Manchester United dilapor sudah pun mempunyai alternatif lebih murah sekiranya gagal membawa masuk penyerang Everton, Iliman Ndiaye ke Old Trafford pada jendela perpindahan kali ini.
Ndiaye adalah calon pilihan untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan selepas mengambil kira pengalaman pemain itu di pentas Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, The Red Devils dilaporkan menjadikan bintang Juventus, Francisco Conceicao dan Nicolo Tresoldi (Club Brugge) sebagai pertimbangan seterusnya jika tidak mampu mendapatkan tandatangan Ndiaye.
Kontrak Ndiaye bersama Everton masih sah sehingga 2029 dan The Toffees dikatakan meminta bayaran £75 juta (RM412.9 juta) daripada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat bintang Senegal berkenaan.
Laporan ketika ini menyebut United enggan melayan tuntutan Everton dan tidak akan membayar jumlah seperti diminta.
Dalam masa sama, The Red Devils tetap mempunyai pesaing untuk mendapatkan khidmat Conceicao memandangkan seterunya, Liverpool dilaporkan turut menyatakan minat terhadap pemain Portugal itu.
Kehadiran Tresoldi antara potensi terbaik untuk memperkukuhkan serangan dan kehadiran pemain 21 tahun itu mampu memberikan kebebasan kepada Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo untuk fokus beraksi di bahagian sisi. – AGENSI
The post Man. United sudah ada calon alternatif appeared first on Kosmo Digital.




