Auto Added by WPeMatico

![]()
BANDAR GAZA: Pihak berkuasa Pertahanan Awam Gaza pada Ahad mengesahkan seramai 13 orang terkorban dalam beberapa siri serangan udara yang menyerang kawasan kediaman sekitar tengah malam.
Pihak pejabat kesihatan Palestin memaklumkan jet pejuang Israel melancarkan serangan berasingan di seluruh wilayah berkenaan, termasuk di Bandar Gaza di utara, Deir al-Balah di bahagian tengah dan Khan Younis di selatan.
Agensi penyelamat pertahanan awam Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas memaklumkan pada Ahad bahawa lapan orang terkorban dalam serangan tengah malam yang memusnahkan beberapa bangunan kediaman.
Seramai lima lagi terbunuh dalam serangan susulan pada sebelah siang.
Dalam satu serangan di bahagian tengah Semenanjung Gaza, sepasang suami isteri terkorban dan beberapa yang lain cedera apabila helikopter tentera Israel melepaskan tembakan ke atas sebuah unit pangsapuri, kata jurucakap pertahanan awam.
Sementara itu, sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun maut menjelang subuh selepas rumah mereka di kawasan Mawasi, Khan Younis dibedil tentera Zionis dari udara.
Pihak berkuasa Gaza sebelum ini mengesahkan bahawa serangan Israel pada Sabtu turut merosakkan bekalan perubatan di sebuah hospital, sehari selepas Hamas menyatakan persetujuan terhadap fasa terkini pelan perjanjian untuk menamatkan peperangan.
Hospital Al-Shifa turut mengesahkan menerima dua mayat mangsa akibat serangan di bahagian bumbung.
Dalam pada itu, pihak tentera Israel mendakwa serangan tersebut menyasar depoh simpanan senjata milik Hamas.
Siri serangan baharu ini berlaku selepas Hamas pada Jumaat menyatakan persetujuan terhadap fasa terkini pelan perjanjian yang dipelopori oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang merangkumi peruntukan berhubung penyerahan senjata dan penarikan keluar pasukan tentera Israel secara berperingkat dari Semenanjung Gaza. – AGENSI
The post Israel terus bedil Gaza, 13 terkorban appeared first on Utusan Malaysia.
