Auto Added by WPeMatico

![]()
BENTONG – Seorang bekas komando cedera parah selepas diserang babi hutan ketika mandi di Sungai Benus berhampiran dengan kebunnya di Kampung Repas di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa Safri Abdul Rahman,60, mengalami kecederaan apabila arteri utamanya hampir putus selepas digigit di bahagian tangan kanan dan cedera ditanduk di bahagian kelangkang.
Mangsa yang mengalami pendarahan teruk sehingga bacaan darah jatuh mendadak telah dibawa ke Hospital Bentong sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
Adik mangsa, Nurshahida Abdul Rahman,39, berkata, semasa kejadian mangsa sedang mandi di sungai berkenaan yang terletak berhampiran kebunnya.
“Apabila dia angkat kepala memandang ke tebing dia nampak seekor babi memandangnya, kemudian babi itu berjalan pergi dan tiba-tiba berpusing balik menyerangnya.
“Babi berkenaan telah menanduk bahagian kelangkang dan menggigit tangan dan abang hanya menumbuk haiwan berkenaan berkali-kali menggunakan tangan kiri,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya orang ramai yang mendengar bunyi bising abangnya bergelut dengan babi berkenaan di tengah kampung itu kemudiannya datang sebelum babi berkenaan melarikan diri.
Katanya, penduduk kampung kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Bentong dan mangsa mengalami kecederaan di celah kelangkang kiri sepanjang 10 sentimeter dengan kedalaman tiga sentimeter dan arteri utama tangan kanannya hampir putus.
Beliau memberitahu selepas melihat keadaan abangnya yang semakin kritikal apabila tekanan darah turun mendadak, keluarganya membuat keputusan membawa mangsa mendapatkan rawatan di PPUM malam semalam.
“Pembedahan pertama dilakukan pada pukul 1 pagi dan siap pukul 10 pagi manakala ada satu lagi pembedahan sedang dilakukan hari ini,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post Bekas komando cedera parah diserang babi hutan appeared first on Kosmo Digital.
