Auto Added by WPeMatico

ROMPIN – Seorang lelaki maut manakala tunangnya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Kilometer 147 Jalan Kuantan-Seremban di sini hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu ialah pemandu kereta jenis Proton Wira, Muhamad Nasri Sulaiman, 32, manakala seorang lagi penumpang berusia 32 tahun mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, berdasarkan siasatan awal, semasa kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Bahau, Negeri Sembilan menghala ke Muadzam Shah di sini.
“Apabila tiba di tempat kejadian, semasa lori sedang bergerak lurus tiba-tiba sebuah kereta keluar daripada simpang empat Melati dan akibat jarak yang dekat lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta.
“Akibat kemalangan tersebut pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpang kereta pula dalam keadaan sangat kritikal,”katanya di sini hari ini.
Menurut Sharif Shai mangsa yang maut dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya berdasarkan siasatan awal lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan kering dengan cuaca yang baik dan cerah. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut kereta dirempuh lori ketika keluar simpang appeared first on Kosmo Digital.