Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka telah menyalurkan bantuan berjumlah RM500,000 kepada komuniti nelayan di negeri ini menerusi program-program kebajikan serta penyediaan peralatan menangkap ikan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, jumlah berkenaan membabitkan 10 kawasan di Melaka dengan setiap kawasan menerima bantuan bernilai kira-kira RM50,000 berdasarkan keperluan nelayan.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan termasuk penyediaan enjin sangkut, pukat, tong ikan berinsulasi dan minyak pelincir bagi membantu meningkatkan keupayaan nelayan menjalankan aktiviti harian.
“Setakat bulan ini kita sudah pergi ke 10 kawasan dengan jumlah bantuan keseluruhan RM500,000. Setiap kawasan lebih kurang RM50,000 bantuan yang diberikan.
“Pada program hari ini, seramai 31 nelayan kategori B40 menerima bantuan sentuhan bernilai RM50,000 membabitkan seorang penerima menerima enjin sangkut 40 kuasa kuda, manakala 30 lagi menerima peralatan seperti pukat, tong ikan berinsulasi dan minyak 2T,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Rahmah Mesra Madani bersama komuniti nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Selatan (PNKMS) di Pangkalan Nelayan Lereh, Tanjung Kling, di sini, hari ini.
Tambahnya, selain bantuan peralatan, LKIM turut menggalakkan komuniti nelayan di Melaka untuk menceburi bidang akuakultur sebagai salah satu alternatif bagi menghadapi cabaran pembangunan pesisir pantai yang menyebabkan kawasan operasi menangkap ikan semakin terhad.
Katanya, dua daripada tiga Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Melaka iaitu PNK Jasin dan PNK Melaka Barat kini sudah terlibat dalam projek akuakultur udang, manakala PNK Melaka Selatan masih dalam usaha mendapatkan tanah bersesuaian untuk tujuan berkenaan.
“Sekarang nelayan berdepan isu kesempitan kawasan kerana pembangunan. Jadi, kita galakkan persatuan nelayan untuk beralih kepada akuakultur supaya bidang ini terus dikawal oleh nelayan itu sendiri.
“LKIM turut menyediakan peruntukan dan bantuan kepakaran mengikut keperluan bagi menyokong pelaksanaan projek akuakultur, termasuk ternakan udang yang sudah menunjukkan hasil bagi beberapa kawasan,” ujarnya.
Katanya, langkah itu penting kerana hasil tangkapan ikan di negeri ini adalah terhad dengan Melaka berada pada kedudukan ke-13 daripada 14 negeri dari segi jumlah pendaratan ikan, iaitu sekitar 700 tan metrik setahun. – KOSMO! ONLINE
The post Nelayan Melaka terima bantuan RM500,000 setakat September appeared first on Kosmo Online.
