
![]()
IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail.
Mohd. Khalid dalam sembah ucapannya berkata, Tugu Satria Perkasa bukan sekadar sebuah monumen atau mercu tanda fizikal, sebaliknya menjadi manifestasi penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap sejarah perjuangan, jasa bakti dan legasi para perwira yang telah berkorban demi negara.
Menurut beliau, sesebuah institusi yang hebat bukan hanya dinilai melalui iltizam membina masa depan yang cemerlang, malah perlu sentiasa menghargai sejarah perjuangan yang menjadi asas kepada kekuatan organisasi tersebut.
“Tugu ini berdiri teguh sebagai simbol penghormatan tertinggi terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian para perwira kita, bermula daripada era Pasukan Polis Hutan sehingga Pasukan Gerakan Am pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, Pasukan Gerakan Am yang dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan merupakan benteng hadapan negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air sejak era ancaman pengganas komunis, konfrontasi sehinggalah operasi keselamatan sempadan.
Katanya, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini dibina atas keberanian, pengorbanan dan kesetiaan anggota pasukan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi negara.
“Justeru, pemilihan nama Satria Perkasa amat bertepatan. Satria melambangkan perwira yang berintegriti dan berjiwa kental, manakala Perkasa mencerminkan keteguhan semangat dalam memelihara keamanan negara,” ujarnya.
Mohd. Khalid berkata, rekaan tiga tiang pada tugu berkenaan membawa maksud yang mendalam apabila menterjemahkan moto rasmi Pasukan Gerakan Am iaitu Cekal, Berani dan Setia.
Katanya, antara komponen paling signifikan ialah Panel Perwira yang Terkorban yang mengabadikan nama anggota Briged Utara yang gugur ketika menjalankan tugas bermula daripada Konfrontasi Trimus di Sarawak pada 1963 sehingga Operasi Taring di Kedah dan Perlis pada 2020.
“Seramai 68 perwira telah mengorbankan nyawa demi ibu pertiwi. Nama-nama yang terpahat pada panel ini bukan sekadar catatan sejarah, malah menjadi amanah kepada generasi baharu untuk terus memelihara keamanan negara dengan penuh iltizam,” katanya.
Beliau berharap Tugu Satria Perkasa akan menjadi mercu tanda rasmi dan lokasi istiadat penghormatan yang mampu menyemai semangat patriotisme dan esprit de corps dalam kalangan warga PDRM.
“Semoga tugu ini menjadi medium pendidikan yang sentiasa mengingatkan kita bahawa legasi para perwira tidak boleh dibiarkan luput ditelan zaman.
“Selagi tugu ini berdiri megah, selagi itulah jasa dan pengorbanan para perwira Briged Utara akan terus dikenang dan disanjung tinggi.
“Semoga semangat mereka terus mengalir dalam setiap nadi warga PDRM, khususnya Pasukan Gerakan Am, untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi demi agama, bangsa dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sultan Nazrin berkenan rasmi Tugu Satria Perkasa Briged Utara PGA appeared first on Kosmo Digital.

