Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Liow Soon Hee atau Nicky Liow tidak pernah dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya telah membayar kompaun sebanyak RM10 juta mengikut peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penjelasan itu dibuat susulan artikel bertajuk ‘30 CSOs urge AG to explain DNAA for Nicky Liow’ yang diterbitkan sebuah portal berita pada 5 Ogos lalu.
Menurut AGC, Nicky Liow didakwa dengan 26 pertuduhan pengubahan wang haram pada 12 April 2022 di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum pihak pembelaan mengemukakan representasi pada 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon semua pertuduhan dikompaun di bawah Seksyen 92 Akta 613.
“Berdasarkan keseluruhan keterangan sedia ada dan berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, Jabatan ini bersetuju untuk menawarkan kompaun berjumlah RM10 juta.
“Jumlah tersebut telah dipersetujui oleh Nicky Liow dan telah dibayar pada 29 Mei 2023,” katanya.
Menurut AGC, selain pembayaran kompaun, penyelesaian itu turut merangkumi pelucuthakan bon bernilai RM647,366 serta pelucuthakan harta yang telah disita.
Katanya, susulan pembayaran kompaun tersebut, AGC menarik balik semua pertuduhan selaras dengan Seksyen 92 Akta 613 dan pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Nicky Liow dilepaskan serta dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.
AGC menegaskan keputusan itu dibuat mengikut kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.
“la juga telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan daripada hasil siasatan secara keseluruhan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Nicky Liow bukan dilepas tanpa tindakan, kompaun RM10 juta dibayar appeared first on Kosmo Digital.
