Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) didakwa menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk bersekongkol dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keadaan itu menyebabkan rakyat menjadi semakin keliru dengan agenda politik dimainkan oleh BN.
“Mesej politik kepada rakyat menjadi lebih keliru apabila BN yang menjadi sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan, bersekongkol dengan pembangkang daripada PN tetapi menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai menteri dan lain-lain kedudukan rasmi untuk berkempen di Negeri Sembilan.
“Apakah akan berlaku pensejajaran semula untuk memenangkan politik nilai daripada politik perkauman?
“Justeru, PH harus bermuhasabah dan mencari di mana kelemahannya, selain perlu membina kekuatan baharu untuk menggerakkan momentum bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas keputusan PRN Negeri Sembilan, Mujahid menyifatkan kemenangan BN-PN sebagai petunjuk bahawa politik identiti berasaskan kaum mengatasi pendekatan politik nilai yang dibawa PH yang bersifat merentas kaum dan agama.
Katanya, pengundi di negeri itu dilihat lebih memilih sentimen dan emosi berkaitan kaum berbanding menilai prestasi serta pencapaian sebagai kayu ukur sokongan terhadap sesebuah parti.
“Pengundi di Negeri Sembilan memilih emosi dan sentimen kaum, daripada prestasi serta pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka.
“Sementara kita menghormati pilihan pengundi, kita juga melahirkan kebimbangan bahawa parti-parti yang membawa naratif politik beridentitikan kaum dan agama sempit berpotensi membawa risiko kepada suasana politik menjadi semakin meruncing,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan jurang ketidakpercayaan dan kebencian antara kaum serta agama semakin melebar, sekali gus menjejaskan kestabilan dan perpaduan negara.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan strategi persefahaman politik antara BN dan PN membuahkan hasil apabila gabungan berkenaan berjaya menguasai 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada jumlah itu, UMNO mencatatkan kemenangan penuh apabila berjaya mempertahankan kesemua 16 kerusi yang ditandingi, manakala MCA memenangi dua kerusi.
Sementara itu, PN menerusi Pas memperoleh empat kerusi, selain Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang turut mencatat kemenangan di tiga kerusi. – UTUSAN
The post BN didakwa guna kedudukan kerajaan bersekongkol dengan pembangkang appeared first on Utusan Malaysia.



