
![]()
KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berharap memperoleh geran tahunan sebanyak RM1 juta bagi memperkukuh pembangunan akar umbi sekali gus memastikan negara tidak ketandusan pelapis yang mampu meneruskan legasi jaguh angkat berat kebangsaan.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, dana tambahan itu amat diperlukan bagi memperkasakan program pembangunan di peringkat negeri selain membantu persatuan negeri mengesan serta menggilap bakat baharu lebih awal sebelum diserapkan ke skuad kebangsaan.
Katanya, walaupun PABM menerima pembiayaan sedia ada daripada Majlis Sukan Negara (MSN), geran khas itu mampu meringankan beban kos pengurusan selain memperluaskan usaha pencarian bakat di seluruh negara.
“Kita berterima kasih kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang sentiasa memahami dan menyokong hasrat PABM.
“Geran tahunan ini bukan sahaja membantu pengurusan persatuan, malah membolehkan pembangunan di negeri-negeri diperkasakan.
“Atlet-atlet utama kita seperti Mohamad Aniq Kasdan dan beberapa lagi semakin meningkat usia.
“Sebab itu kita perlu mencari pengganti lebih awal supaya kesinambungan prestasi negara dapat dikekalkan,” katanya.
Ayub berkata, PABM tidak mengejar kuantiti atlet semata-mata, sebaliknya memberi keutamaan kepada bakat yang benar-benar mempunyai potensi untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Katanya, atlet berpotensi perlu dikenal pasti sejak usia muda sebelum didedahkan kepada latihan berkualiti, program pemakanan, kejurulatihan serta penyertaan dalam kejohanan antarabangsa bagi mempercepatkan proses pembangunan mereka.
Sebelum ini, MOM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan PABM untuk mendapatkan peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Katanya, permohonan itu wajar dipertimbangkan kerana sukan angkat berat sudah membuktikan potensinya sebagai antara penyumbang pingat emas di pentas antarabangsa. – UTUSAN
The post Geran RM1 juta teruskan legasi angkat berat appeared first on Utusan Malaysia.




