Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4.2 juta bagi menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari sejak tahun 2023 untuk memastikan jalan tersebut selamat digunakan kepada pengguna.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dengan antara kerja naik taraf dilaksanakan pihaknya adalah penambahan perabot jalan, pemasangan lampu jalan dan penambah baikan laluan sedia ada.
Katanya, kelulusan juga telah diperoleh dari kerajaan negeri bagi cadangan penambahan satu lorong dengan anggaran 300 meter (m) dari arah Puncak Alam ke Shah Alam.
“Ini bagi mengurangkan kesesakan di Persimpangan Alam Budiman. JKR Selangor sedang menjalankan kerja awalan dan kerja-kerja fizikal dijangka selewat-lewatnya pertengahan tahun ini,” katanya hari ini.
Menurut JKR Selangor, kajian trafik di persimpangan berkenaan sedang dijalankan bagi memperoleh data serta angka sebenar jumlah pengguna jalan tersebut.
“Cadangan (apa yang perlu dibuat) akan dikemukan kepada kerajaan negeri daripada data yang diperoleh. Kajian akan dilaksanakan selari dengan kerja penambahan satu lorong di persimpangan tersebut.
“Malah, JKR juga telah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf sepanjang laluan Persiaran Mokhtar Dahari kepada empat lorong dalam Rancangan Selangor ke-2 (RS-2),” katanya.
Tambahnya, dua syarat pembangunan, iaitu pembinaan satu lorong tambahan menghala ke Shah Alam di Persimpangan Alam Budiman dan pembinaan satu lorong tambahan menghala ke Puncak Alam di Persimpangan Greenhill Residence telah dimaklumkan kepada dua syarikat pemaju untuk tindakan selanjutnya.
Kosmo! semalam melaporkan lebih 200,000 penduduk Puncak Perdana, Alam Budiman dan Puncak Alam terus menuntut pembinaan jejambat di Persimpangan Alam Budiman selepas menanti lebih 15 tahun tanpa penyelesaian.
Desakan itu disuarakan menerusi demonstrasi aman yang turut menyaksikan enam kubur berhias diletakkan sebagai simbol kebimbangan penduduk terhadap risiko kemalangan di persimpangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Laluan empat lorong Persiaran Mokhtar Dahari dalam permohonan – JKR appeared first on Kosmo Online.
