Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Lebih 200,000 penduduk Puncak Perdana, Alam Budiman dan Puncak Alam terus menuntut pembinaan jejambat di Persimpangan Alam Budiman selepas menanti lebih 15 tahun tanpa penyelesaian.
Desakan itu disuarakan menerusi demonstrasi aman yang turut menyaksikan enam kubur berhias diletakkan sebagai simbol kebimbangan penduduk terhadap risiko kemalangan di persimpangan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin, 57, berkata permohonan membina jejambat itu sudah dikemukakan beberapa kali, termasuk sebelum pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
“Kami amat kesal kerana sudah lebih 15 tahun menunggu. Jika jejambat ini dibina, kami yakin jumlah kemalangan di sini dapat dikurangkan.
“Namun, sampai sekarang tiada maklum balas daripada pihak berkaitan berhubung permintaan ini,” katanya selepas menyertai demonstrasi aman bersama lebih 100 penduduk di sini, hari ini.
Menurutnya, penduduk memahami kerajaan negeri berdepan pelbagai kekangan, termasuk kos pembinaan dan kajian kesesuaian projek, namun berharap isu keselamatan itu tidak terus berlarutan.
Katanya, kebimbangan penduduk semakin memuncak susulan kemalangan membabitkan sebuah lori yang memasuki laluan bertentangan di kawasan itu kira-kira dua minggu lalu.
“Selepas kejadian itu, ada penduduk memaklumkan kepada saya mereka sudah tidak berani menggunakan persimpangan ini kerana takut terbabit dalam kemalangan. Untuk bulan ini sahaja, sudah berlaku empat kemalangan di persimpangan ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Badrulhisham memaklumkan telah menyerahkan memorandum tuntutan penyelesaian Persimpangan Alam Budiman kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, pagi tadi.- KOSMO! ONLINE
The post Penduduk Alam Budiman tuntut jejambat, enam kubur jadi simbolik appeared first on Kosmo Online.
