Auto Added by WPeMatico

![]()
JAKARTA – Sebuah pasukan gabungan terdiri daripada Polis Negara Indonesia, Agensi Narkotik Nasional (BNN) serta Direktorat Besar Kastam dan Eksais telah membongkar makmal dadah terbesar di Indonesia yang terletak di Pidie, wilayah Aceh, lapor laman berita DetikNews semalam.
Operasi bersepadu tersebut membawa kepada penahanan 11 individu dan rampasan 1.2 tan syabu (methamphetamine kristal) atau dikenali sebagai dadah ‘blue ice’.
Menurut klip video yang dilihat semalam, serbuan dilakukan petang Rabu lepas. Makmal bawah tanah itu terletak antara deretan rumah kedai di kawasan Mutiara Timur, Pidie bagi mengabui mata pihak berkuasa.
Setibanya di lokasi kejadian, anggota-anggota pasukan keselamatan terus mengepung rumah kedai tersebut dari arah depan dan belakang. Pada masa itu, semua pintu terkunci dan dimangga. Pegawai polis mengetuk pintu tetapi tidak mendapat sebarang jawapan daripada penghuninya.
Pasukan gabungan mengambil tindakan tegas dengan memecahkan pintu belakang rumah kedai tersebut. Sebaik sahaja pintu dibuka, mereka menyerbu ke dalam bangunan itu.
Rumah kedai itu gelap dengan semua lampu dipadamkan serta barang-barang bersepah. Bagaimanapun, mereka menemukan beberapa suspek yang cuba bersembunyi.
Seramai enam orang ditangkap di rumah kedai tersebut. Pada masa yang sama, pasukan keselamatan di lokasi berbeza menangkap lima suspek lain.
Rumah kedai itu diubah suai secara khusus dengan bilik-bilik bagi setiap peringkat proses pengeluaran syabu. Bilik-bilik itu dipenuhi bahan kimia berbahaya dan peralatan pengeluaran yang lengkap.
Di tempat kejadian, polis merampas bekalan cecair syabu, tong gas, dapur, alat penyinaran (irradiator), peti sejuk, penimbang, baldi, paket syabu yang sedia untuk diedarkan serta mesin basuh yang digunakan untuk proses pengkristalan.
Sindiket yang beroperasi disyaki mempunyai hubungan dengan rangkaian dadah antarabangsa yang berasal dari China, Malaysia dan Indonesia. – AGENSI
The post Polis bongkar makmal dadah terbesar, rampas 1.2 tan ‘blue ice’ appeared first on Kosmo Online.
