Arah.my

B-15 negara buka kempen dengan kemenangan bergaya

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Bawah 15 Tahun (B-15) negara memulakan kempen Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Dominica 3-1 dalam aksi Kumpulan H di Hovsan Competition Complex, Baku, Azerbaijan, hari ini.

Anak buah P. Maniam mempamerkan aksi meyakinkan apabila meledak dua gol dalam tempoh 17 minit pertama menerusi Aqheef Haiqal Koko pada minit ke-12 dan Anas Suffiyan Arif lima minit kemudian.

Dominica cuba bangkit dengan merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-28, namun skuad muda negara tidak membenarkan lawan menguasai momentum apabila Amirul Faris Azlan menambah gol ketiga pada minit ke-39.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan permulaan positif buat Malaysia dalam saingan Kumpulan H.

Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti skuad negara apabila perlu mengharungi dua perlawanan esok, bermula dengan pertemuan menentang Syria pada jam 1 tengah hari sebelum berdepan Ethiopia pada jam 7.45 malam.

Jadual padat itu menuntut pemain mengekalkan kecergasan dan konsistensi bagi meneruskan momentum kemenangan dalam kejohanan berkenaan.

Sehari kemudian, skuad bimbingan Maniam dijadual menentang Hungary pada jam 3.30 petang sebelum melengkapkan aksi menentang Mexico pada jam 10.15 malam waktu tempatan.-UTUSAN

The post B-15 negara buka kempen dengan kemenangan bergaya appeared first on Utusan Malaysia.

You may also like