Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Pertubuhan belia dan persatuan sukan di negeri ini menerima peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi memperkasakan pembangunan belia, menggalakkan gaya hidup aktif serta memperluas penyertaan sukan di peringkat akar umbi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi dua saluran utama, iaitu Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Dana Belia dan Sukan melalui E-Bantuan Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu (SPSB).
“Daripada jumlah RM1,618,450, sebanyak RM985,160 diperuntukkan menerusi DSK kepada 148 persatuan bagi menyokong penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti dan akar umbi.
“Sementara itu, RM633,290 lagi disalurkan melalui E-Bantuan SPSB kepada 84 persatuan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan belia, sukan dan Rakan Muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Malaysia Aktif dan Peluncuran KLAS Seni Bela Diri Peringkat Negeri Melaka 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka, hari ini.
Ujarnya, antara program yang menerima manfaat termasuk Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (Kibar), Agro Belia, program kepimpinan, Majlis Perundingan Belia, Port Healing Rakan Muda, Liga Sukan Warga Emas, Karnival Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Liga Sukan Komuniti.
Mengulas lanjut beliau berkata, sokongan kewangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan peluang menyertai aktiviti sukan dan pembangunan belia dapat dinikmati masyarakat secara lebih meluas.
“Melaka kini mempunyai 364 pertubuhan belia berdaftar, sekali gus menunjukkan kepentingan sokongan berterusan bagi mengukuhkan peranan pertubuhan belia dalam membangunkan potensi generasi muda.
“Penyaluran dana itu turut menyokong usaha merakyatkan sukan melalui program Malaysia Aktif dan KLAS Seni Bela Diri yang dilaksanakan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE
The post Pertubuhan belia, persatuan sukan Melaka terima RM1.6 juta appeared first on Kosmo Online.
