Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA SELANGOR – Seramai 90 anggota bomba termasuk masyarakat setempat terlibat dalam operasi mencari kanak-kanak lelaki, Khairil Izzani Khaizalullinudin, 10, yang terjatuh ke dalam longkang di Puncak Alam di sini.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Samsol Maarif Saibani berkata, operasi memasuki hari ketiga itu diperluas hingga ke Sungai Buloh melibatkan radius sejauh 15 kilometer (km).
Menurutnya, langkah itu diambil susulan kemungkinan mangsa dihanyutkan arus deras lebih jauh dari lokasi asal.
“Pos Kawalan Bomba (PKB) turut dipindahkan ke balai masyarakat Taman Alam Jaya bagi melancarkan penyelarasan operasi.
“Jarak dari lokasi mangsa dipercayai jatuh ke muara Sungai Buloh adalah kira-kira lima kilometer,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, jika tiada petunjuk ditemui di laluan awal, pencarian akan diteruskan menyusuri Sungai Buloh hingga ke pertemuan dengan Sungai Selangor melibatkan tambahan jarak kira-kira 10 kilometer.
Tambahnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), unit K9 serta anggota bomba telah diagihkan di beberapa lokasi strategik sepanjang laluan tersebut dengan pencarian dilakukan berulang kali bagi memastikan tiada petunjuk terlepas pandang.
“Jika masih tiada penemuan, operasi akan diperluas hingga ke Sungai Selangor,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh dan hanyut ke dalam longkang yang berarus deras ketika hujan lebat petang semalam dan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.47 malam kelmarin.- KOSMO! ONLINE
The post 90 anggota bomba, penduduk giat cari Khairil Izzani appeared first on Kosmo Digital.

