Auto Added by WPeMatico

![]()
DI sebalik hamparan sawah menghijau dan damai desa, tersimpan sebuah kisah cinta, pengorbanan serta persaudaraan yang menghangatkan jiwa.
Lebih mencuit hati, nadi penceritaan bukan digerakkan manusia, sebaliknya seekor lembu bernama Mojo yang tiba-tiba hilang sehingga mencetuskan huru-hara sekampung.
Daripada premis luar biasa itu, lahirlah Mojoku Hilang!, sebuah naskhah romantik komedi penuh jiwa yang menghidupkan semula pesona genre rom-com tempatan dengan sentuhan segar dan sarat nilai kemanusiaan.
Berlatarkan keindahan Perlis, filem arahan Min Lim itu menggabungkan elemen cinta, harapan, pengorbanan serta semangat kebersamaan masyarakat desa.
Dalam dunia moden yang semakin meminggirkan nilai kejiranan, Mojoku Hilang! mengingatkan penonton bahawa kekuatan sesebuah komuniti lahir daripada rasa saling percaya, saling membantu dan kesanggupan berkorban demi insan lain.
Bagi mengimbangi emosi, jalan cerita turut diperkaya dengan humor bersahaja menerusi setiap karakter, terutama Mojo, seekor lembu tular bergelar ‘pempengaruh’ kampung yang menjadi buruan selepas diculik.
Menurut Min, naskhah tersebut jauh melangkaui sebuah filem romantik komedi biasa, sebaliknya menjadi cerminan nilai kehidupan yang dekat di hati masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Ramai tertanya-tanya mengapa kami memilih seekor lembu sebagai subjek utama filem ini. Sebenarnya, Mojo hanyalah metafora yang menemukan semua watak dalam cerita ini.
“Kami mahu membawa mesej tentang manusia, komuniti dan usaha mencari semula perkara paling penting dalam kehidupan. Sebenarnya filem ini diinspirasikan daripada nilai murni Aidiladha, iaitu pengorbanan, kepercayaan, kasih sayang serta keyakinan terhadap diri, perjalanan hidup dan pilihan sendiri.
“Nilai tersebut bukan milik satu agama sahaja, sebaliknya bersifat sejagat. Sebab itu saya mahu menghasilkan filem berteraskan semangat Aidiladha, tetapi tanpa mengorbankan lembu tersebut,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Min, idea menghasilkan Mojoku Hilang! sudah ada dalam fikirannya sejak hampir sedekad lalu sebelum akhirnya direalisasikan.
“Saya memang peminat tegar komedi romantik sejak era 1980-an dan 1990-an. Saya mula bertanya kepada rakan-rakan, apakah filem komedi romantik tempatan terakhir yang benar-benar mereka ingat. Ramai sebut Gol & Gincu serta Istanbul Aku Datang, sedangkan itu sudah belasan tahun berlalu.
“Ketika filem aksi dan seram semakin mendominasi pawagam, saya fikir sudah tiba masanya kita menghidupkan semula komedi romantik tempatan dengan pendekatan baharu. Dari situlah lahirnya Mojoku Hilang!,” ujarnya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Zahir Omar percaya kekuatan filem tersebut terletak pada gabungan beberapa elemen utama yang saling melengkapi sehingga mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
“Bagi saya, ada empat kekuatan utama filem ini. Pertama, barisan pelakonnya sangat mantap. Keserasian mereka cukup kuat, malah saya yakin setiap persembahan mampu menghiburkan penonton.
“Kedua, lokasi penggambaran di Perlis sangat indah sehingga menjadi satu lagi elemen penting dalam filem ini. Ketiga, jalan ceritanya menarik dan dekat dengan hidup ramai orang.
“Keempat, sentuhan Min Lim sendiri. Cara beliau melihat dunia sangat tulus, hangat dan penuh nilai kemanusiaan. Semua itu diterjemahkan dalam filem ini. Kalau keluar pawagam pun masih tidak tersenyum, saya rasa memang hati terlalu keras,” jelasnya.
Penulis skrip Honey Ahmad pula mengakui idea asal filem tersebut membuatkannya terhibur sebelum jatuh cinta terhadap keunikan cerita terbabit.
“Kami mahu membina sebuah kisah kampung penuh aspirasi, mengangkat semula nilai gotong-royong, kekeluargaan, semangat komuniti dan kasih sayang. Kami juga mahu menghasilkan filem untuk semua peringkat usia.
“Ketika menjalani penggambaran di Perlis, seluruh pasukan benar-benar menjadi sebuah keluarga. Perasaan itu akhirnya turut meresap dalam filem,” tutupnya.
Mojoku Hilang!. mengisahkan Mojo, seekor lembu tular yang hilang secara misteri di sebuah kampung sehingga mencetuskan kekecohan.
Adi, pemuda dari bandar diarahkan mencari Mojo sambil memikul agenda tersembunyi. Demi meraih kepercayaan penduduk, dia menyamar sebelum tanpa sedar jatuh cinta kepada Ayu.
Namun, penipuan Adi semakin sukar disembunyikan apabila Ayu, gadis kampung berjiwa kental, lantang mempertahankan tanah penduduk daripada dirampas syarikat besar dari bandar.
Pertembungan cinta, kepercayaan dan tanggungjawab akhirnya menguji setiap keputusan dibuat Adi.
Filem terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films itu turut mencipta sejarah apabila petama kali menggandingkan Mimi Lana bersama pelakon Indonesia, Adipati Dolken.
Turut memperkukuhkan penceritaan, barisan pelakon berpengalaman seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Datuk A. Tamimi Siregar, Haeriyanto Hassan, Tony Eusoff, Farah Ahmad, Gambit Saifullah, selain kemunculan istimewa Atilia Haron serta Alif Satar & The Locos.
Keindahan landskap Perlis turut menjadi nadi visual filem ini, sekali gus menghadirkan identiti sinematografi tersendiri dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri Perlis.
Mojoku Hilang! menemui penonton di seluruh pawagam bermula 23 Julai 2026 lalu.
The post ‘Mojoku Hilang! ada sebab kenapa lembu jadi subjek’ appeared first on Kosmo Digital.
