Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Detik cemas dialami sepasang suami isteri apabila kereta yang ditinggalkan seketika untuk membeli sarapan dilarikan bersama anak perempuan mereka dalam kejadian di Jalan PJS 6/4, Kampung Lindungan, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.24 pagi.
“Ketika kejadian, pasangan suami isteri warga tempatan itu meletakkan kenderaan di tepi jalan sebelum meninggalkan anak perempuan mereka di dalam kereta terbabit bagi tujuan membeli sarapan pagi.
“Pengadu menyedari kenderaan miliknya dilarikan oleh suspek lalu menghubungi pihak polis untuk bantuan,” katanya dalam kenyataan.
Susulan laporan itu, polis melancarkan Op Tutup dan hasil bantuan orang awam, kenderaan tersebut berjaya ditemui bersama kanak-kanak berkenaan di kawasan Apartment Mentari Court, Petaling Jaya, kira-kira tiga jam selepas operasi dijalankan.
“Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada pasangan pengadu. Tindakan mengesan penjenayah terbabit sedang dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang.
Dalam pada itu, Shamsudin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian bagi mengelakkan kekeliruan serta tidak menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Azman Ayob di talian 012-223 7272 bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE
The post Kereta dilarikan ketika beli sarapan, anak 5 tahun selamat ditemui appeared first on Kosmo Digital.
