Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Dengan hanya bermodalkan alat muzik seakan-akan kompang dan nyanyian, sekumpulan ‘penghibur jalanan’ di lintasan pejalan kaki di kawasan Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan di sini mampu meraih lebih RM1,200 sebulan hasil sumbangan orang ramai.
Hasil tinjauan Kosmo! semalam mendapati, sekurang-kurangnya dua hingga empat individu akan berada di lokasi berkenaan setiap hari dengan ada antaranya memalu alat muzik dan menyanyi, manakala dua lagi memakai kostum karakter bagi menarik perhatian pelancong serta pengguna jalan raya.
Mereka turut dilihat duduk di atas lintasan pejalan kaki yang sibuk dengan kenderaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, selain mengganggu laluan pengguna jalan raya.
Salah seorang daripadanya, Syukur Abdullah, 56, mendakwa, dia mampu memperoleh lebih RM1,200 sebulan hasil sumbangan orang ramai, namun menegaskan tidak pernah mengemis atau meminta wang daripada orang ramai.
“Saya main kompang, main lagu sahaja dan pernah mohon lesen dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), tapi sampai sekarang tak dapat, duduk sana polis bantuan halau, duduk sini pun kena halau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun dah tegur saya, tapi saya tak kacau orang.
“Saya tak susahkan masyarakat, saya tak minta orang duit, tapi orang yang bagi saya duit. Saya cuba cari kerja, tapi tak dapat-dapat dan selagi belum ada kerja, saya buat kerja macam inilah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Banda Hilir di sini.
Terdahulu, situasi itu turut tular di media sosial Threads dengan netizen mempertikaikan tindakan kumpulan tersebut sama ada ia dibenarkan oleh penguat kuasa kerana dilihat mencemarkan imej kawasan pelancongan di negeri ini.
Susulan hantaran tular itu, JKM Melaka bersama penguat kuasa MBMB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan baru-baru ini.
Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhammad berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, hanya Syukur berada di lokasi terbabit dan semakan mendapati dia pernah membuat permohonan bantuan kebajikan dengan JKM, selain menyewa sebuah bilik pada kadar RM400 sebulan.
“JKM telah memberikan nasihat serta mengarahkannya beredar sebelum merancang tindakan susulan termasuk lawatan ke tempat tinggalnya, semakan kelayakan bantuan kebajikan dan rujukan kepada Unit Kaunseling Daerah sekiranya diperlukan,” katanya ketika dihubungi.
The post ‘Kami hanya main kompang, bukan mengemis’ appeared first on Kosmo Digital.
