Auto Added by WPeMatico

![]()
POKOK SENA – Sebanyak 27 jenazah warga Myanmar daripada etnik Rohingya yang merupakan mangsa bot karam dekat perairan Langkawi pada November tahun lalu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, di sini hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, proses pengurusan jenazah dilaksanakan bermula pukul 10 malam tadi dan berjaya disempurnakan sepenuhnya pada pukul 7 pagi tadi.
Katanya, proses pengebumian 13 jenazah lelaki dan 14 perempuan itu dilakukan mengikut prosedur dan tatacara temporary controlled burial (TCB) atas nasihat pihak hospital.
“Kesemua jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam itu bermula pukul 7.30 pagi tadi dan dilaksanakan dengan penuh tertib serta penghormatan mengikut hukum syarak agama Islam serta di bawah pemantauan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK),” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, operasi pengurusan dan pengebumian dilaksanakan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), MAIK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.
Jelasnya, kesemua jenazah yang merupakan mangsa bot karam itu sebelum ini dibawa ke Unit Perubatan Forensik HSB bagi tujuan pengecaman identiti, bedah siasat serta dokumentasi forensik mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sementara itu, kata Adzli, siasatan berhubung punca kejadian, laluan kemasukan serta dalang di sebalik kegiatan penyeludupan migran masih diteruskan di bawah seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian itu merupakan satu tragedi yang amat menyayat hati dan menjadi peringatan tentang risiko serta bahaya dihadapi oleh individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.
“PDRM akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan perairan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Rohingya Pokok Sena, Horumullah Ahmad Hussein berkata, walaupun tidak mengenali semua mangsa tersebut, dia tetap berasa sedih dan sayu apabila melihat keranda diturunkan satu persatu ke dalam lubang kubur.
“Mereka meninggal dunia akibat lemas ketika cuba mahu ke Malaysia, kami orang Rohingya orang susah. Saya doakan segala dosa mereka diampunkan dan ditempatkan di syurga,” katanya.
Kosmo! pada November tahun lalu melaporkan sebuah bot membawa kira-kira 70 migran etnik Rohingya yang dipercayai menuju ke negara ini karam berhampiran Pulau Tarutao, Thailand, sebelum 44 mangsa termasuk 30 yang maut ditemukan terapung di perairan Langkawi.
Kesemua migran tersebut dikatakan sebahagian daripada kira-kira 300 migran yang menaiki sebuah kapal induk yang berlepas dari Buthidaung, Myanmar sebelum dipindahkan ke bot lebih kecil ketika menghampiri sempadan Thailand-Malaysia.
Kumpulan migran itu mendakwa membayar kira-kira 400,000 Taka atau sekitar RM13,500 kepada sindiket untuk masuk ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE
The post 27 jenazah Rohingya mangsa bot karam selamat dikebumikan appeared first on Kosmo Digital.
