Auto Added by WPeMatico

![]()
MUAR – Selepas dibebaskan daripada semua pertuduhan di Mahkamah Persekutuan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal mengharungi satu lagi cabaran apabila akan berlari sejauh antara 150 hingga 170 kilometer bagi mengumpul dana RM200,000 untuk membantu masyarakat di daerah itu.
Larian dinamakan Larian Kesyukuran Muar itu akan berlangsung selama empat hari bermula esok hingga Ahad ini, melibatkan laluan dari Istana Kehakiman, Putrajaya sehingga ke Laman Maharani, Muar.
Menurut Syed Saddiq, program tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas melalui tempoh yang amat mencabar sejak beberapa tahun lalu, selain menjadi platform mengumpul dana untuk golongan yang memerlukan.
“Kami menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 yang akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu penyediaan Bakul Makanan kepada keluarga kurang berkemampuan dan pemberian iPad kepada pelajar yang memerlukan bagi tujuan pembelajaran.
“Keperluan makanan tidak boleh dikompromikan, manakala akses kepada peranti digital kini amat penting bagi memastikan pelajar tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang empat hari larian itu, orang ramai boleh mengikuti setiap perkembangan menerusi siaran langsung di platform TikTok, Facebook dan YouTube.
Katanya, semua sumbangan akan disalurkan melalui akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar dengan nombor akaun, kod QR bank serta maklumat kempen dipaparkan menerusi pautan rasmi bagi memudahkan orang ramai membuat sumbangan.
Menurut beliau, jumlah kutipan dana akan dikemas kini secara berkala, manakala laporan penuh penggunaan dan agihan dana akan dikongsikan selepas kempen berakhir sebagai tanda komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti.-KOSMO! ONLINE
The post Syed Saddiq anjur acara larian, kumpul dana RM200,000 untuk Muar appeared first on Kosmo Digital.
