
IPOH – Polis mengesahkan seorang wanita warga emas yang ditemui dalam keadaan hampir reput di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor semalam, telah meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat wanita itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) hari ini.
Bagaimanapun katanya, punca kematian tidak dapat dipastikan ekoran keadaan mayat mangsa yang telah reput.
“Berdasarkan siasatan, mangsa tinggal seorang diri di rumah itu dan tiada sebarang perlakuan jenayah dikesan pada tubuh mangsa. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, seorang ejen mesin penapis air terkejut apabila menemui mayat seorang wanita dalam keadaan kembung dan berbau busuk di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya.-KOSMO! ONLINE
The post Wanita ditemui reput dipercayai mati sejak tiga hari lalu appeared first on Kosmo Digital.