
![]()
MERSING – Seramai 30 orang mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan berterusan yang melanda beberapa kawasan sekitar daerah Mersing awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata anggota dari BBP Endau telah melaksanakan operasi pemindahan mangsa banjir yang melibatkan 10 buah keluarga itu ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar.
Katanya, kesemua mangsa adalah dari kawasan Parlimen Mersing, Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan Mukim Endau.
“Operasi pemindahan mangsa dilaporkan bermula pukul 12.01 tengah malam tadi, manakala PPS tersebut telah dibuka secara rasmi pada pukul 5 pagi hari yang sama.
“Antara lokasi kejadian yang terjejas akibat banjir ialah Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong. Seramai 10 keluarga melibatkan 30 orang penduduk telah dipindahkan ke PPS berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa adalah terdiri daripada empat bayi, 10 kanak-kanak, enam lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa dan tiga warga emas serta tiada mangsa melibatkan golongan orang kurang upaya OKU.-KOSMO! ONLINE
The post Johor mula dilanda banjir, satu PPS dibuka di Endau appeared first on Kosmo Digital.
