Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Membuat pembelian minyak diesel di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke stor berhampiran untuk tujuan penyimpanan dan penyelewengan.
Itu antara helah seorang pemandu lori tempatan selain mengubah suai tangki lori bagi menyeleweng minyak diesel bersubsidi.
Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dikesan pasukan khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sekitar Sungai Besi, semalam.
Pengarah KPDN WPKL, Mohd. Sabri Seman berkata, tindakan tersebut adalah hasil risikan dan pemantauan berterusan yang dilakukan pihaknya.
“Pemeriksaan awal mendapati individu berkenaan tidak mempunyai dokumen sah memiliki dan membawa barang kawalan berjadual jenis bahan api diesel.
“Individu berusia 35 tahun itu seterusnya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Sabri berkata, anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM51,500 manakala kerugian subsidi dianggarkan mencecah RM11,880 sekiranya tangki berkapasiti 3,000 liter tambahan tersebut diisi penuh.
“Antara barangan yang disita membabitkan sebuah lori yang telah diubah suai dengan tiga tangki tambahan berkapasiti keseluruhan 3,000 liter (IBC Tank) serta 1,500 liter minyak diesel.
Katanya, siasatan turut mendapati terdapat individu bertindak sebagai ‘runner’ yang berurusan di kaunter menggunakan kad armada (fleet card) selain melakukan pembayaran secara tunai.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.
“Keberhasilan tangkapan ini jelas membuktikan bahawa Pasukan Khas KPDN WPKL sentiasa komited dan tidak berkompromi dalam membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan, khususnya melibatkan ketirisan minyak diesel bersubsidi.
“Saya ingin menegaskan bahawa KPDN tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas subsidi kerajaan.
“KPDN WPKL juga akan mengambil tindakan syor pembatalan atau menggantung kelulusan fleet card ke atas mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan pemberian atau kemudahan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ini,” ujarnya.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada KPDN bagi membantu usaha membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori diberkas seleweng diesel bersubsidi appeared first on Kosmo Digital.
