Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Cemas dilihat pemandu e-hailing menerusi cermin pandang belakang dipercayai punca seorang penumpang wanita bertindak terjun dari kereta itu di jalan berdekatan Taman Eng Ann di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu lelaki tempatan berusia 47 tahun berhubung kejadian tular di media sosial itu, kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Jelasnya, ketika kejadian pemandu e-hailing itu dalam perjalanan menghantar dua penumpang dan salah seorang bertindak membuka pintu belakang lalu terjun keluar dari kenderaan yang masih bergerak.
“Pemandu tersebut kemudian segera memberhentikan kenderaan dan mendapati penumpang wanita berusia 25 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan awal mendapati penumpang itu mendakwa berasa cemas dan bimbang akan keselamatannya selepas pemandu berkenaan memerhatikannya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab jelas,” katanya petang ini.
Tambah Vijaya, pemandu itu kemudian membatalkan pesanan e-hailing dan penumpang berkenaan dihantar ke klinik berdekatan bagi rawatan lanjut.
“Pemandu tersebut membuat laporan polis sebagai perlindungan diri (covering report) terhadap sebarang kemungkinan pada masa depan.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan penumpang terlibat sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Cemas dipandang, wanita terjun dari kereta e-hailing appeared first on Kosmo Digital.
