Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON – Kebakaran yang marak dengan pantas meninggalkan kesan kemusnahan di bandar Spokane, barat laut Amerika Syarikat (AS) semalam, dengan pegawai-pegawai melaporkan bahawa beratus-ratus struktur hangus menjadi abu.
Beribu-ribu penduduk diarah berpindah kelmarin dan semalam, ketika tiga kebakaran berasingan tercetus di dalam dan sekitar Spokane, di timur negeri Washington.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran tentang ‘cuaca kebakaran yang sangat kritikal’ di kawasan itu berikutan angin kencang dan cuaca kering luar biasa.
Rakaman video dimuat naik oleh media tempatan semalam menunjukkan puluhan rumah hangus dijilat api, dengan asap tebal masih menyelubungi bandar itu.
“Beratus-ratus kediaman dan struktur musnah. Kami masih menilai potensi kehilangan nyawa,” kata Datuk Bandar Spokane, Lisa Brown dalam satu taklimat akhbar petang semalam.
Keadaan cuaca bertambah baik semalam dengan angin semakin reda, tetapi kebakaran tersebut masih disenaraikan sebagai ‘sifar peratus terkawal’.
Ketua Jabatan Sumber Asli Washington, David Upthegrove memberi amaran bahawa kebakaran di Spokane adalah ‘satu daripada 15 kebakaran besar yang sedang marak di seluruh negeri Washington pada masa ini’.
“Ini adalah musim kebakaran hutan yang luar biasa di kawasan Pasifik Barat Laut. Ia bukan musim yang normal,” katanya.
Kebakaran terbesar daripada tiga kebakaran di Spokane, iaitu Kebakaran Old Trails, melintasi Sungai Spokane petang kelmarin dan memasuki kawasan bandar. – AFP
The post Api lintas sungai, bakar bandar di Amerika Syarikat appeared first on Kosmo Digital.

