Auto Added by WPeMatico

![]()
SELAIN daripada fenomena gerhana matahari penuh yang dikatakan sekali dalam satu generasi, ada satu lagi hal mengagumkan berkait matahari yang dilaporkan baru-baru ini.
Minggu lalu, media melaporkan sekumpulan saintis berjaya merakam imej matahari paling jelas pada resolusi tertinggi yang pernah dicapai, sekali gus mendedahkan pelbagai butiran baharu yang menakjubkan.
Dengan menggunakan kamera berkelajuan tinggi yang dipasang pada Teleskop Suria Daniel K. Inouye di Hawaii, peralatan tersebut mampu merakam sehingga 740 ‘frame’ sesaat dengan 2,000 dedahan imej digabungkan untuk menghasilkan setiap imej saintifik yang diperincikan.
Rakaman oleh teleskop suria paling berkuasa dunia itu yang dikeluarkan oleh Balai Cerap Suria Kebangsaan Amerika Syarikat menunjukkan suatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini pada matahari. Penyelidik berjaya mengenal pasti fenomena belum pernah diperhatikan secara jelas dikenali ketidakstabilan Kelvin-Helmholtz.
Fenomena itu menghasilkan corak pusaran seakan-akan pusaran air di permukaan matahari apabila bendalir bergerak melepasi satu sama lain pada kelajuan berbeza. Menurut penyelidik, pusaran itu berpotensi jadi petunjuk penting dalam memahami cuaca suria paling ganas.
Subhanallah! Melihat kepada imej dan video yang didedahkan, diri ini terasa kebesaran Yang Maha Pencipta. Saat teknologi melakukan ‘zoom’ permukaan matahari sehingga kelihatan jelas di mata, ia mengingatkan kita saat matahari didekatkan Tuhan kepada manusia di Padang Mahsyar ketika menunggu amalan dihisab.
Seringkali dikhabarkan ustaz ustazah pada hari yang dahsyat itu matahari akan sejengkal di atas kepala. Hadis sahih bagaimanapun tidaklah menyebut sejengkal, namun apa yang pasti matahari akan didekatkan kepada kita, sebagaimana yang pernah diterangkan agamawan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam koleksi fatwanya.
Katanya, matahari akan didekatkan terhadap kepala makhluk sehingga semakin memberatkan dan menakutkan mereka.
Menerusi hadis Riwayat Muslim bermaksud: “Daripada al-Miqdad al-Aswad berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, pada hari kiamat, matahari didekatkan kepada manusia sehingga satu mil (ditulis mim ya lam).”
Perawi Sulaim Amir tidak dapat memastikan sama ada satu mil dimaksudkan dalam hadis ini ialah satu mil jarak di atas bumi yang bersamaan 4,000 hasta atau sepanjang alat celak (lebih pendek daripada ukuran sebatang jari atau mungkin ini yang dimaksudkan kira-kira sejengkal).
Pada hari itu, manusia akan berada di dalam peluh mengikut amalan tahap mereka. Ada antaranya peluh sehingga ke tumit, ada antaranya sehingga lutut, pinggang bahkan ada antaranya tenggelam dalam peluh sebagaimana hadis Rasulullah.
Syaikh Muhammad Soleh mengatakan: “Jarak satu mil ini, baik satu mil yang biasa atau mil alat celak, semuanya dekat. Apabila sedemikian panasnya matahari di dunia, padahal jarak antara kita dengannya sangat jauh, maka bagaimana jika matahari berada satu mil atas kepala kita?”
Kepanasan matahari sememangnya dirasakan di muka dunia ini.
Ketika matahari berada di jarak 149 juta kilometer dari bumi saat ini pun selarannya sudah membuatkan kita terseksa bahkan baru-baru in juga lebih 10,000 penduduk Eropah dilaporkan mati kerana strok haba dahsyat, bagaimanakah hebatnya penyeksaan matahari pada hari kebangkitan yang abadi?
The post Bila nanti matahari dekat di atas kepala appeared first on Kosmo Digital.
