Auto Added by WPeMatico

KUANTAN – Isu penyalahgunaan dadah, jenayah siber termasuk perjudian dalam talian serta pemerdagangan manusia menjadi tumpuan utama dalam Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) ke-8 yang berlangsung di sini, hari ini.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ketiga-tiga isu tersebut merupakan cabaran utama di rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan memerlukan pendekatan bersepadu oleh negara anggota.
“Tiga perkara ini saling berkait dan memerlukan tindakan kolektif untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Namun, dadah akan kekal sebagai fokus utama kerana ia bukan sahaja merosakkan individu, malah turut memusnahkan institusi keluarga dan masyarakat,”katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat berkenaan yang dihadiri wakil Parlimen daripada 10 negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Indonesia.
Menurut Johari, pemerdagangan manusia turut menjadi isu kritikal kerana ia menjejaskan keselamatan negara serta mencemarkan imej di peringkat antarabangsa.
Katanya, mesyuarat kali ini turut mengangkat tema ‘Uniting Parliamentarians for an Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges’ yang memberi penekanan terhadap usaha kolektif memerangi ancaman dadah yang semakin serius.
“Masalah dadah bukan sekadar jenayah tetapi menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial lain termasuk jenayah kekerasan dan kemerosotan nilai masyarakat,” ujarnya.
Mengulas mengenai hukuman gantung, Johari berkata langkah itu sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah dadah secara tuntas, sebaliknya pendekatan lebih konstruktif seperti rawatan dan pemulihan juga perlu diberi perhatian. – KOSMO! ONLINE
The post Dadah, jenayah siber dan pemerdagangan manusia jadi fokus AIPACODD appeared first on Kosmo Digital.