
![]()
SHAH ALAM – Kelicikan tiga warga Vietnam memalsukan cop pasport dengan berselindung sebagai penjual kek terbongkar selepas rumah sewa teres tiga tingkat didiami mereka di Taman Sri Andalas, Klang dekat sini diserbu semalam.
Ketiga-tiga termasuk seorang lelaki yang merupakan dalang berusia 26 dan 40 tahun itu diberkas menerusi Ops Serkap kira-kira pukul 4 petang.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, siasatan mendapati mereka mengaut keuntungan mudah sebanyak RM400 bagi satu-satu cop palsu tersebut dengan pelanggan terdiri khususnya rakan senegara mereka.
Katanya, antara cop palsu dikesan adalah dari pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.
“Kumpulan suspek ini hanya melakukan cop pas lawatan sosial bagi menunjukkan pemiliknya merupakan pelancong yang memasuki negara melalui Singapura.
“Mereka juga akan mencuci cop lama yang asli menggunakan peluntur sebelum meletakkan cop baharu daripada dikesan tinggal lebih masa dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JIM Selangor hari ini.
Menurut beliau, modus operandi mereka menggunakan aplikasi p-hailing selepas bayaran dibuat oleh pelanggan mereka.
Tambahnya, pekarangan rumah mereka pula ‘dihiaskan’ dengan dapur membuat kek bagi mengaburi aktiviti mereka dikesan jiran tertangga.
“Sepanjang risikan selama dua minggu, kita juga telah membuat penyamaran bertindak sebagai penghantar barangan dengan datang ke rumah suspek bagi mengambil barangan berisi pasport telah dicop palsu itu.
“Rumah itu dipercayai telah disewa sejak dua tahun lalu oleh mereka dan kita masih menyiasat sejak bila kegiatan itu aktif,” ujarnya.
Berdasarkan serbuan itu, turut merampas
pelbagai barangan seperti 10 pasport dari Vietnam, dua jenis cop keluar dan masuk, sebuah kereta Subaru XV, wang tunai RM2,150 serta peralatan seperti bahan peluntur dengan nilai kesemua rampasan dianggarkan lebih RM50,000.
Jelas Khairrul Aminus, pihaknya mempercayai ketiga-tiga suspek mula berjinak dalam kegiatan itu selepas memalsukan dokumen mereka sendiri selepas tamat tempoh sebelum diperluas dalam bentuk urusniaga kepada warga asing lain.
“Mereka kini direman selama dua minggu di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih. Kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) dan 12(1)(f) Akta Pasport 1966,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penjual kek rupanya sindiket pemalsuan cop pasport appeared first on Kosmo Digital.

