Auto Added by WPeMatico

SYDNEY – Australia mula memindahkan hampir 3,000 rakyatnya yang terperangkap dalam konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran, kata Menteri Luar Penny Wong hari ini.
Usaha menyelamat bagaimanapun terhalang oleh serangan peluru berpandu, menyebabkan ‘terlalu berisiko’ bagi pesawat awam untuk mendarat sama ada di Iran atau pun Israel kata Wong.
Kira-kira 1,500 rakyat Australia telah mendaftar untuk dipindahkan dari Iran, manakala lebih 1,200 lagi ingin keluar dari Israel, katanya.
“Orang ramai tidak dapat menaiki pesawat, tiada pesawat (komersial) mendarat, situasi terlalu berisiko dan ruang udara pula ditutup,” kata Wong kepada badan penyiaran kebangsaan, ABC.
“Kami mengambil peluang yang muncul untuk mengeluarkan sekumpulan kecil rakyat Australia dari Israel melalui lintasan sempadan darat.
“Kami berusaha untuk melakukan lebih banyak lagi dalam tempoh 24 jam akan datang,” tambahnya.
Sementara itu, New Zealand berkata hari ini bahawa Wellington telah menutup kedutaannya di Iran dan memindahkan dua kakitangan bersama keluarga mereka ke Azerbaijan melalui jalan darat.
“Jika dan apabila peluang wujud untuk memindah keluar rakyat New Zealand yang lain di Iran serta Israel, kami akan meneruskannya dengan segera,” kata Menteri Luar Winston Peters dalam satu kenyataan.
Israel dan Iran berbalas serangan peluru berpandu dalam konflik yang semakin meningkat, mencetuskan kebimbangan perang besar-besaran melanda Asia Barat. – AFP
The post 3,000 rakyat Australia cemas, mahu segera tinggalkan zon perang appeared first on Kosmo Digital.