Auto Added by WPeMatico

![]()
ARAU – Dua lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian meragut dua utas rantai leher emas milik seorang wanita warga emas yang tinggal bersendirian di Bumbung Lima, di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan polis di sebuah bilik sewa di Jalan Padang Nyu, Kampung Guar Gajah, di sini kira-kira pukul 4 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari apabila mangsa yang berusia 83 tahun ketika itu berada di rumah dan sedang menunggu penghantaran makanan.
“Mangsa terdengar bunyi motosikal sebelum membuka pintu rumah kerana menyangka individu itu merupakan penghantar makanan.
“Bagaimanapun, seorang lelaki yang tidak dikenali berada di hadapan pintu sebelum merentap dua utas rantai leher emas yang dipakai mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa terjatuh dalam keadaan terlentang namun tidak menjerit kerana ketakutan, selain mengambil masa untuk bangun berikutan faktor usia dan masalah sakit lutut.
“Mangsa kemudian menghubungi anaknya sebelum laporan polis dibuat. Dua utas rantai berkenaan dianggarkan bernilai RM10,000 dan telah dibeli kira-kira 15 tahun lalu,” ujarnya.
Katanya, wanita itu mempunyai masalah nyanyuk dan penglihatan kurang jelas, menyebabkannya tidak dapat mengecam wajah suspek secara khusus.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan kedua-dua suspek dan merampas sebuah motosikal jenis SYM Sport Bonus SR serta sebuah telefon bimbit Honor 200 Smart.
“Siasatan awal mendapati suspek pertama berusia 26 tahun yang merupakan penganggur mengaku bersama suspek kedua pergi ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal milik suspek kedua sebelum dia turun dan merentap rantai leher mangsa.
“Suspek pertama turut mendakwa kedua-dua rantai berkenaan dijual kepada suspek kedua yang bekerja sebagai pembantu kedai pada harga RM200,” jelasnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Nenek 83 tahun diragut, dua suspek positif meth ditahan appeared first on Kosmo Digital.
