
![]()
PETALING JAYA: Pelakon, Jaa Suzuran mengakui dirinya terbuka untuk menjayakan pelbagai watak selain komedi menerusi naskhah-naskhah yang dibintanginya.
Menurut Jaa atau Mohamad Faizal Ahmad, dia sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki lakonannya kerana bimbang kelihatan hambar jika menjayakan watak yang sama semata.
“Saya tiada masalah untuk bawa watak serius. Malah sekarang saya rasa lebih sesuai dengan watak serius. Kalau watak komedi pula, saya bimbang akan jadi hambar. Saya sendiri rasa sudah tidak pandai buat lawak seperti dulu sejak umur sudah masuk 30-an.
“Seperti dalam Tiket Sehala, memang watak kali ini sangat berat. Cuaca ketika penggambaran pun banyak mempengaruhi emosi lakonan. Bayangkan suhu mencecah -9 darjah Celsius. Saya pula orang Kelantan, kemudian kena bercakap dalam bahasa Inggeris.
“Memang ambil masa untuk biasakan diri. Saya cuba sedaya upaya memperbaiki lakonan. Walaupun saya tidak anggap diri saya pelakon yang hebat, saya banyak belajar daripada pelakon lain seperti Sharifah Sakinah. Alhamdulillah, mereka banyak membantu,” katanya.
Tambah Jaa, dia berasa bertuah dapat berkongsi satu skrin dengan aktres versatil, Sharifah Sakinah, malah terharu apabila menerima pujian darinya.
“Semasa latihan memang saya banyak bersama Sakinah. Dialah yang membuka mata saya untuk memahami watak ini. Watak saya bukan sekadar buat lawak.
“Dia ada lapisan emosi yang berbeza. Pada awalnya begini, kemudian berkembang sedikit demi sedikit. Jadi mahu kawal perkembangan emosi watak itu memang agak sukar,” jelasnya.
Mengulas mengenai filem Tiket Sehala, Jaa mendedahkan dirinya mengalami beberapa kecederaan ketika menjayakan babak aksi menerusi karya arahan Rahila Ali itu.
“Jika diberi peluang, saya memang mahu belajar seni mempertahankan diri. Tengok Ainee Mustafa dan Noki beraksi memang buat saya teruja. Saya juga ada melakukan babak aksi menerusi filem ini tetapi tidak banyak.
“Malah, saya juga cedera ketika menjayakan babak aksi ketika penggambaran. Dalam masa sama, saya juga dipijak dan ditampar pada bahagian muka dengan betul oleh Ainee.
“Kami mahu babak itu nampak realistik. Dia sebenarnya tidak sanggup, tapi saya cakap lebih baik sakit sekali daripada kena ulang banyak kali,” kongsinya.
Jaa bagaimanapun berharap filem yang menggabungkan barisan pelakon tempatan bersama pelakon dari Indonesia, Korea Selatan dan Thailand itu mendapat tempat di hati penonton.
“Saya harap filem ini pergi jauh. Ini kolaborasi Malaysia dan Korea, ditambah pula dengan pelakon daripada beberapa negara lain. Saya harap penonton beri sokongan sebab filem ini menawarkan sesuatu yang berbeza. Visualnya pun sangat cantik,” ujarnya.
Selain Jaa, filem itu turut dibintangi Noki K-Clique, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, Ainee Mustafa dan Saha Champ serta barisan pelakon antarabangsa dari Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Filem yang mengangkat kisah sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mencari rezeki di Korea Selatan itu sudah pun ditayangkan pada 6 Ogos lalu
The post Tiada masalah bawa watak serius, kalau komedi saja bimbang hambar – Jaa Suzuran appeared first on Utusan Malaysia.

