Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN : Pakej 1 bagi Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) berjalan mengikut jadual pelaksanaan yang ditetapkan apabila merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 34.63 peratus setakat 31 Julai lalu.
Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pelaksanaan kerja di beberapa lokasi utama berjalan lancar dengan kerja-kerja pengalihan utiliti mencapai kemajuan sebanyak 75 peratus manakala kerja-kerja geoteknikal di Jalan Tun Hussein Onn yang merangkumi pembinaan jambatan baharu pula telah mencapai 68 peratus.
Pada masa yang sama katanya, kerja-kerja di Persimpangan Timur-Barat kini merekodkan kemajuan 48 peratus sebagai persediaan bagi fasa pembinaan yang seterusnya.
“Bagi mengekalkan momentum pelaksanaan, PLUS bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pasukan perunding dan kontraktor projek terus mengoptimumkan aktiviti pembinaan melalui pelaksanaan kerja secara serentak di beberapa lokasi, lanjutan waktu bekerja termasuk pada hujung minggu serta penggunaan jentera berkapasiti tinggi.
“Seiring dengan kemajuan Pakej 1, PTJSD kini melangkah ke fasa seterusnya apabila proses tender Pakej 2 dan Pakej 5 telah pun bermula dan sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, PLUS berkata, perkembangan ini mencerminkan kesinambungan pelaksanaan projek dan komitmen mereka dalam memastikan keseluruhan PTJSD dapat direalisasikan mengikut perancangan.
Katanya, pembukaan tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5 pula menjadi satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan di koridor Juru–Sungai Dua.
“Dalam hal ini, PLUS akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap fasa projek dilaksanakan dengan selamat, cekap dan mengikut jadual.
“Apabila siap kelak, PTJSD dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna lebuh raya setiap hari dengan mengasingkan aliran trafik lebuh raya dan trafik tempatan, sekali gus mengurangkan masa perjalanan di koridor Juru–Sungai Dua daripada sekitar satu jam kepada kira-kira 20 minit serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang,” katanya.
Untuk rekod, PTJSD merupakan projek berimpak tinggi melibatkan laluan sepanjang 17.3 kilometer (km) yang merentasi tiga daerah di Seberang Perai iaitu Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) dengan kos yang dianggarkan mencecah RM3 bilion.-UTUSAN
The post Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua rekod 34.63 peratus kemajuan appeared first on Utusan Malaysia.
