Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026, sekali gus memperkukuhkan struktur institusi kehakiman syariah di negeri ini selaras dengan keperluan semasa.
RUU yang mengandungi 66 fasal itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Antara intipati utama enakmen berkenaan ialah penegasan bahawa tiada mana-mana peruntukan boleh mengurangkan, menjejaskan atau menyentuh hak serta kuasa prerogatif Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini. Enakmen itu turut memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Utama Syariah.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Mohammad Fahmi Ngah berkata, enakmen baharu itu tidak mengubah asas bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak mewujudkan kuasa baharu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, enakmen itu juga tidak menjejaskan kedudukan institusi agama Islam yang telah sedia ada di negeri ini.
“Sebaliknya, ia memperkemaskan struktur perundangan, memperkukuhkan tadbir urus institusi kehakiman syariah serta menyediakan asas yang lebih kukuh bagi memastikan penyampaian keadilan syariah terus dilaksanakan secara bebas, profesional, berintegriti dan diyakini masyarakat,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan pada Persidangan DUN Selangor di sini hari ini.
Mohammad Fahmi berkata, pelaksanaan fasal berkaitan penubuhan Mahkamah Utama Syariah melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM240,000 setahun bagi pembayaran elaun kepada lima panel hakim lantikan negeri.
Katanya, Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) telah meneliti implikasi kewangan tersebut dan mengesahkan tiada halangan daripada aspek peruntukan.
“Bagaimanapun, pelaksanaan enakmen ini wajar dilaksanakan secara berhemah dan dan berperingkat bagi memastikan keperluaan penambahbaikan institusi kehakiman syariah dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, unjuran pertambahan kes dalam tempoh lima tahun akan datang menunjukkan Mahkamah Rendah Syariah bakal berdepan peningkatan beban kerja yang signifikan.
Menurutnya, mahkamah berkenaan dijangka merekodkan peningkatan sehingga empat peratus pendaftaran kes baharu setiap tahun, didorong oleh pertumbuhan populasi serta ekonomi.
“Rekod menunjukkan jumlah pendaftaran kes di Mahkamah Rendah Syariah meningkat daripada 17,509 kes pada 2013 kepada 27,769 kes pada tahun lalu.
“Trend ini memperlihatkan keperluan untuk terus memperkukuhkan kapasiti institusi kehakiman syariah agar penyampaian keadilan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, efisien dan memenuhi harapan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post DUN Selangor lulus RUU perkasa Mahkamah Syariah appeared first on Kosmo Digital.
