
![]()
CHICAGO: Penyanyi dan pelakon terkenal, Ariana Grande menjelaskan keputusan untuk mengurangkan kemunculan di khalayak ramai selepas jelajah konsertnya berakhir bulan depan bukanlah tindakan yang dibuat secara terburu-buru, sebaliknya telah dirancang sejak sekian lama.
Menurut Grande, 33, keputusan itu dibuat secara teliti susulan tekanan berterusan akibat penelitian dan perhatian melampau daripada orang ramai terhadap kehidupan peribadinya.
Ketika membuat persembahan pada malam pertama daripada tiga siri konsert di Chicago, dia membaca kenyataan yang telah disediakan kepada para peminat.
“Pengumuman yang dibuat semalam bukanlah keputusan yang dibuat secara reaktif atau mengikut emosi. Saya telah merancangnya secara senyap sejak lama dahulu,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada keputusan tersebut, Grande turut menarik diri daripada pementasan muzikal Sunday in the Park with George karya Stephen Sondheim yang dijadual berlangsung di Barbican, London pada musim panas tahun depan. Dia sebelum ini dijangka bergandingan dengan rakan pelakon filem Wicked, Jonathan Bailey.
Dalam ucapannya, Grande turut dipercayai menyentuh kebimbangan orang ramai terhadap keadaan fizikal dan berat badannya yang kembali menjadi perhatian selepas pelancaran video muzik Petal, iaitu single utama daripada album baharunya yang menggunakan judul sama, minggu lalu.
Video tersebut turut menerima community note di Instagram yang mengarahkan individu yang mengalami gangguan pemakanan kepada sumber bantuan berkaitan.
“Saya mendengar ada peminat yang bimbang perkara negatif sedang merosakkan diri saya, namun hakikatnya adalah sebaliknya.
“Kita perlu menetapkan batasan. Sebagai manusia, kita juga memerlukan waktu untuk berehat,” katanya.
Grande menegaskan keputusan itu dibuat dalam keadaan yang tenang dan penuh keyakinan.
“Walau apa pun suara atau komen di luar sana, tiada apa yang mampu mengubah realiti saya atau menjadi lebih bermakna daripada kasih sayang yang kita kongsi bersama,” ujarnya.
Album baharu penyanyi itu banyak memaparkan rasa kecewanya terhadap tekanan dan jangkaan masyarakat terhadap dirinya. Malah, dalam video muzik Petal, dia digambarkan membunuh sekumpulan pengkritik menggunakan gergaji berantai sebagai simbolik terhadap kritikan yang diterimanya.
Mengulas lanjut, Grande berkata, dia hanya mahu memberi tumpuan kepada hubungan yang terjalin bersama para peminat.
“Saya sayangkan anda semua. Inilah yang sentiasa saya mahukan. Selebihnya, segala komen dan pandangan itu bukan lagi beban yang perlu saya pikul,” katanya.
Dia turut menyifatkan jelajah konsert yang sedang berlangsung sebagai antara pengalaman paling bermakna dalam hidupnya.
“Ini adalah antara pengalaman paling memulihkan, paling indah dan paling istimewa dalam hidup saya,” katanya.
Selepas menamatkan persembahan di Chicago, Grande dijadual meneruskan jelajahnya menerusi siri persembahan selama 10 malam di Arena O2, London bermula 15 Ogos ini.
The post Umum ‘berehat’, Ariana Grande mahu elak tekanan appeared first on Utusan Malaysia.
