
![]()
LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta dilaporkan mengetuai usaha kelab itu dalam cubaan terakhir untuk mendapatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior.
Pemain Brazil itu dikatakan sudah menerima mesej peribadi daripada pengurus The Gunners itu berhubung kemungkinan perpindahan ke Stadium Emirates.
Menurut laporan, Arsenal mengintai peluang membawa masuk penyerang berusia 26 tahun itu bagi memperkuatkan skuad yang sedang memburu dominasi di England dan Eropah.
Vinicius menikmati tempoh gemilang sepanjang lapan tahun bersama Real selepas menyertai kelab itu dari Flamengo dengan tiga kejuaraan La Liga dan dua trofi Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, masa depan pemain itu mula menjadi perhatian apabila kontraknya bersama Real memasuki tahun terakhir, sekali gus mencetuskan kebimbangan kelab itu berdepan risiko kehilangan salah seorang pemain terbaik dunia secara percuma.
Real dilaporkan bersedia mempertimbangkan tawaran sekiranya rundingan kontrak baharu bersama Vinicius gagal mencapai persetujuan.
Portal sukan Sepanyol, AS, melaporkan Arteta ‘mengambil alih operasi’ untuk mendapatkan pemain itu dan memberi jaminan sistem permainan Arsenal akan banyak dibina mengikut kekuatan Vinicius.
Arteta juga dikatakan mahu memastikan Vinicius memahami betapa pentingnya peranan yang bakal diberikan kepadanya di utara London, selain menyatakan cita-cita Arsenal untuk menguasai saingan Liga Perdana Inggeris serta pentas Eropah dalam beberapa musim akan datang.
Namun, pilihan utama Vinicius dilaporkan masih kekal bersama Real, walaupun kedua-dua pihak dikatakan masih belum mencapai kata sepakat mengenai syarat kontrak baharu.
Sementara itu, legenda Arsenal, Paul Merson, meragui kemungkinan perpindahan itu berlaku dan mendakwa situasi berkenaan mungkin sekadar digunakan Vinicius untuk mendapatkan tawaran lebih baik daripada Real.
“Vinicius Junior hanya mencari kontrak baharu di Real. Dia sedang mempermainkan Arsenal,” kata Merson kepada Sky Sports. – AGENSI/UTUSAN
The post Arteta ketuai usaha pikat Vinicius appeared first on Utusan Malaysia.
