Auto Added by WPeMatico

![]()
KINSHASA: Dua bahagian kampung di Hombo, wilayah timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang dipisahkan oleh Sungai Luhoho telah mencetuskan krisis kekurangan bekalan makanan.
Jambatan itu runtuh pada 3 Jun lalu mengakibatkan beberapa individu terhumban ke dalam sungai.
Ia merupakan salah satu prasarana kritikal yang kian mereput di wilayah yang sebenarnya menempatkan antara tapak perlombongan paling menguntungkan di rantau berkenaan.
Menerusi rakaman video yang tular, sekurang-kurangnya tujuh individu dilihat bergelut di dalam sungai keruh bagi mengelakkan diri daripada dihanyutkan arus deras, manakala individu kelapan kelihatan berenang ke arah mereka untuk menghulurkan bantuan.
Beberapa saat kemudian, individu yang merakam kejadian bertindak mengalihkan pandangan kamera bagi menunjukkan punca kekecohan tersebut iaitu sebuah jambatan kayu telah patah dua dengan kedua-dua bahagiannya runtuh ke dalam air.
Kumpulan penduduk yang ramai turut kelihatan berkumpul di kedua-dua tepi tebing.
Menurut dua sumber tempatan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang berlaku pada 3 Jun 2026 itu.
Bagaimanapun, wartawan tempatan di wilayah Walikale, Augustin Mbula berkata, situasi itu menjadikan jambatan berkenaan perhubungan yang amat penting buat penduduk setempat.
“Jambatan ini membolehkan orang ramai merentasi sungai, selain memainkan peranan penting untuk urusan perdagangan. Sebagai contoh, kawasan Hombo Utara (bahagian Hombo di tebing barat sungai) memperoleh sebahagian besar bekalan makanan dari ladang di Hombo Timur (di sebelah timur sungai).
“Oleh itu, jika jambatan ini terbiar dalam keadaan sedemikian, ia pasti mencetuskan masalah. Kami menerima laporan daripada sumber tempatan bahawa krisis kekurangan bekalan makanan sudah mula berlaku. Jambatan ini perlu dibaik pulih dengan kadar segera,” katanya.
Seorang penduduk yang tinggal hanya beberapa meter dari lokasi kejadian memberitahu, komuniti tempatan kini berganding bahu membina laluan sementara bagi mengatasi masalah berkenaan. – AGENSI
The post Jambatan utama runtuh di Congo, penduduk terputus bekalan makanan appeared first on Utusan Malaysia.
