Auto Added by WPeMatico

IPOH – Sebanyak 680 liter diesel disita dari sebuah kilang memproses gula batu di Kawasan Perindustrian Pangkalan, Lahat di sini hari ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sitaan terhadap bahan api berkenaan dilakukan susulan pemeriksaan dilakukan pihaknya menerusi Ops Tiris (Bersepadu) pada pukul 11.30 pagi.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, didapati premis ini ada memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 680 liter dalam simpanannya.
“Premis memaklumkan bahawa minyak diesel tersebut digunakan hanya untuk tujuan persendirian dan operasi kilang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, premis juga gagal mengemukakan sebarang kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan.
“Sehubungan dengan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita sebanyak 680 liter cecair disyaki minyak diesel.
“Turut disita ialah empat unit tong drum dan dokumen-dokumen berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3,260,” katanya.
Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak bersama Jabatan Imigresen (JIM) Perak, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak. – KOSMO! ONLINE
The post KPDN Perak sita 680 liter diesel di kilang gula batu appeared first on Kosmo Digital.
