
![]()
PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu (IFM), GFM Services Berhad (GFM) memperoleh pesanan pelepasan tambahan bernilai RM83.1 juta bagi pakej kerja penyelenggaraan utama di Pengerang Integrated Complex (PIC) di Johor.
Menurut kenyataannya, pesanan pelepasan itu merangkumi kontrak bernilai RM16.3 juta yang diperoleh anak syarikat milik penuhnya, Highbase Strategic Sdn Bhd (Highbase) daripada Petronas Chemicals Isononanol Sdn. Bhd. (PCINA).
Tambahnya, ia juga melibatkan kontrak bernilai RM66.8 juta yang diperoleh anak syarikat tidak langsung 60 peratus miliknya, Shapadu CR Asia Sdn. Bhd. (SCRA) daripada Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. (PRC).
Jelasnya, pesanan pelepasan tersebut diperoleh di bawah kontrak sedia ada Integrated Turnaround Main Mechanical and Maintenance Mechanical Static (TA4MS) milik kumpulan dan kerja-kerja berkenaan dijangka bermula pada 2027.
Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin berkata, kontrak terbaharu itu membuktikan kepakaran mendalam serta keupayaan saling melengkapi yang dibangunkan kumpulan menerusi bahagian tenaganya.
“Ia juga mengukuhkan kedudukan GFM sebagai penyedia perkhidmatan yang dipercayai dalam industri minyak dan gas hiliran Malaysia,” katanya.
Ruslan berkata, GFM terus bekerjasama rapat dengan pemilik projek serta pihak berkepentingan bagi memastikan kerja-kerja yang dianugerahkan dilaksanakan secara selamat, cekap dan mematuhi piawaian teknikal serta operasi yang ditetapkan.
“Pada masa sama, GFM akan memperkukuh keupayaan pelaksanaan dan merebut peluang yang bersesuaian dalam pasaran perkhidmatan penyelenggaraan hiliran dan kerja-kerja penyelenggaraan utama,” ujarnya.
Bersama-sama pesanan pelepasan bernilai RM148.2 juta yang diumumkan pada 10 Julai 2026, GFM kini telah memperoleh pakej kerja dengan nilai terkumpul RM231.3 juta bagi kitaran penyelenggaraan utama yang akan datang di PIC.
PIC yang mula beroperasi pada 2019 kini sedang membuat persediaan bagi menjalani kitaran penyelenggaraan utama pertamanya.
Proses penyelenggaraan itu melibatkan pelbagai kerja penyelenggaraan, pemeriksaan dan penggantian komponen di seluruh kompleks hiliran bersepadu berkenaan bagi memastikan operasi terus berdaya harap, selamat dan cekap. – UTUSAN
The post GFM peroleh kontrak tambahan bernilai RM83.1 juta di PIC, Johor appeared first on Utusan Malaysia.
