Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji yang dijadualkan pada 11 Ogos ini wajar dipanjangkan sekurang-kurangnya kepada dua hari.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, beliau telah mengemukakan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ketua Majlis Dewan Rakyat bagi memohon perkara itu.
Katanya, cadangan ini selaras dengan saranan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar ahli-ahli Parlimen diberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk membahaskan setiap dapatan, syor serta tindakan susulan Kerajaan secara menyeluruh.
“Laporan RCI ini melibatkan kepentingan jutaan pendeposit Tabung Haji serta umat Islam di negara ini.
“Setiap dapatan dan syor yang dikemukakan perlu diberikan perhatian serta penjelasan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Naib Presiden Bersatu itu berkata, tempoh perbahasan yang mencukupi akan membolehkan lebih ramai Ahli-Ahli Parlimen mengambil bahagian dan mengemukakan pandangan yang bernas.
Katanya, ini demi memperkukuh tadbir urus, ketelusan serta pengurusan Tabung Haji pada masa hadapan.
Sebelum ini, Perdana Menteri menetapkan Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan laporan RCI TH pada 11 Ogos ini bagi membuka ruang kepada penelitian menyeluruh terhadap dapatan siasatan dan hala tuju pembaharuan institusi pengurusan haji negara.
Sidang khas itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI berkaitan TH kepada umum, selain meneruskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa berdasarkan dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan. – UTUSAN
The post Sidang khas Dewan Rakyat bahas RCI TH wajar dipanjang 2 hari appeared first on Utusan Malaysia.
