Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Gelombang perantau yang pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok mula memenuhi lebuh raya petang ini.
Tnjauan Kosmo! melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat pukul 5.50 petang ini, aliran trafik menuju ke selatan bergerak perlahan di beberapa lokasi utama .
Berdasarkan kemas kini trafik semasa LLM di Facebook, kesesakan paling ketara dikesan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, khususnya dari Plaza Tol Sungai Besi ke Kajang, Putra Mahkota ke Nilai Utara serta Nilai ke Bandar Ainsdale.
Bandar Ainsdale yang menjadi pintu masuk utama ke Negeri Sembilan turut menyaksikan pertambahan jumlah kenderaan sejak pukul 4 petang tadi.
Selain itu, LLM melaporkan aliran trafik tinggi di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Bukit Lanjan ke Kota Damansara serta Subang ke Shah Alam yang menjadi laluan utama sebelum pengguna memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan.
Dalam perkembangan sama, beberapa pengguna media sosial berkongsi situasi di mana ada yang terperangkap dalam kesesakan hampir dua jam dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban.
“Dari pukul 4 petang dari KL masih tak sampai RnR Seremban,” kata Ahmad Syukri.
Paparan langsung oleh CCTV LLM, turut menyaksikan keadaan sama di Lebuh Raya ELITE apabila trafik bergerak perlahan dari Seafield ke Putra Heights dan Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove akibat peningkatan jumlah kenderaan.
Sementara itu, beberapa laluan lain di sekitar Lembah Klang seperti Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang juga mengalami kesesakan susulan peningkatan jumlah kenderaan pada waktu puncak.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Ramlan Harun dilapor berkata, seramai 859,760 daripada 889,490 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka esok.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, seramai 7,391 pengundi telah selesai menjalankan pengundian secara pos.
Beliau berkata, sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,669 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang esok bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing. – KOSMO! ONLINE
The post Perantau mula ‘berkampung’ atas lebuh raya balik mengundi appeared first on Kosmo Digital.
