Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Lampu isyarat tidak jelas di Jalan Persiaran Senawang berhampiran Taman Matahari Height, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pemandu memandu secara laju atau melanggar peraturan jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain berkata, isu sebenar terletak pada sikap pemandu yang kurang sabar dan cenderung mengambil risiko semata-mata untuk menjimatkan beberapa saat di jalan raya.
“Apabila lampu isyarat bertukar kuning, ramai pemandu tidak memperlahankan kenderaan. Sebaliknya, mereka menekan minyak sebelum lampu bertukar merah,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian di sini, hari ini.
Semalam, seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat Persimpangan Lampu isyarat Matahari Heights menghala ke Paroi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dilakukan bagi menambah baik susunan masa lampu isyarat di semua persimpangan sepanjang jalan lurus di Jalan Persiaran Senawang berdekatan Taman Matahari Heights, di sini.
Katanya, dalam masa sama, pihaknya akan melaksanakan beberapa tindakan untuk memperlahankan kelajuan kenderaan di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Lampu kuning perlahan kereta bukan makin tekan minyak’ appeared first on Kosmo Digital.