
![]()
LOS ANGELES: Penyanyi dan pelakon terkenal antarabangsa, Ariana Grande, mengambil keputusan mengejut apabila mengundurkan diri daripada pementasan teater Sunday in the Park With George demi berehat daripada dunia hiburan.
Menurut penganjur, Sunday In The Park With George, pihak mereka telah mengesahkan bahawa Ariana Grande telah mengundurkan diri dan menghormati keputusan tersebut.
Keputusan itu melihat penyanyi lagu 7 Rings berkenaan membatalkan gandingan semulanya bersama pelakon filem Wicked, Jonathan Bailey, yang sepatutnya dipentaskan di London pada 2027.
“Menerusi pengumuman petang ini daripada pasukan Ariana Grande, kami mengesahkan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada pementasan Sunday in the Park with George.
“Kami tahu ini bukanlah satu keputusan yang mudah dan beliau mengundurkan diri dengan pemahaman serta sokongan penuh daripada pihak kami. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau.
“Pementasan ini akan ditayangkan di Barbican pada musim panas 2027 seperti yang dirancang dan senarai pelakon akan diumumkan kelak,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Untuk rekod, keputusan itu diambil oleh Ariana susulan dirinya merancang untuk mengundur diri seketika daripada dunia hiburan dan perhatian umum selepas tamat konsert jelajah Eternal Sunshine Tour.
The post Ariana Grande tarik diri daripada pementasan teater Sunday in the Park with George appeared first on Utusan Malaysia.


