
![]()
SUBANG JAYA – Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemukan terapung di Sungai Klang berhampiran sebuah kilang di USJ 1 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 12.58 tengah hari.
Menurut beliau, siasatan awal di lokasi mendapati mayat mangsa ditemukan dalam keadaan muka telah hancur, manakala kulit pada tangan dan kaki mengelupas.
“Mayat turut ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian iaitu memakai jaket berwarna kuning dan seluar jeans berwarna cerah.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg silang yang mengandungi e-KTP (Kartu Tanda Penduduk Elektronik) serta sekeping gambar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai sudden death report (SDR),” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis USJ 8 di talian 03-7862 7222. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat wanita ditemukan terapung di Sungai Klang appeared first on Kosmo Digital.




