
KLUANG – Dua lelaki maut manakala seorang selamat selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 68.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), Simpang Renggam-Machap di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pukul 8 pagi itu menyebabkan pemandu, Logharaj Gupal, 21, dan rakannya, Seelankumar Segar, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Nahas itu turut menyebabkan seorang lagi penumpang, Roshaan Prakash, 21, duduk di kerusi penumpang belakang cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati tiga sahabat ini datang dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur sebelum kereta Proton X50 itu hilang kawalan dan terbabas seterusnya melanggar pembahagi jalan.
“Akibat kejadian itu, Logharaj dan Seelankumar masing – masing mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Bahrin lagi, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Dua maut, X50 terbabas langgar pembahagi jalan appeared first on Kosmo Digital.