Auto Added by WPeMatico

IPOH – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kini berada dalam keadaan stabil.
Pengarah HRPB, Dr. Saiful Azlan Sharif berkata, kedua-dua mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius kini ditempatkan di wad biasa hospital itu.
Katanya, Lili Suzana Mat Ya’acob, 23, cedera di kepala manakala Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21, patah tulang tangan.
“Pada mulanya kita lihat kecederaan yang dialami mereka lebih di bahagian kepala namun selepas penilaian dibuat, alhamdulillah kecederaan di kepala tidak serius seperti yang disangka,” katanya ketika ditemui di HRPB di sini hari ini.
Terdahulu, Saiful Azlan mengiringi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melawat dua pelajar cedera yang menerima rawatan di hospital itu.
Menurut beliau, meskipun kedua-dua pelajar itu kini dalam keadaan stabil, pemantauan masih diteruskan dan proses rawatan susulan secara berperingkat akan dijalankan.
“Kita dahulukan kepada mana (tindakan rawatan) yang perlu diutamakan. Ini kerana berdasarkan penilaian kesihatan, ia menjurus kepada jangkitan kuman,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UPSI: Dua pelajar stabil, ditempatkan di wad biasa appeared first on Kosmo Digital.