
![]()
PETALING JAYA – Fenomena cuaca panas melampau di Selangor terus mencetuskan keluhan penduduk, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan penghawa dingin di rumah.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh pengguna @Amarshafie, dia yang menetap di Kajang meminta petua daripada orang ramai untuk tidur dengan lena dalam keadaan suhu rumah yang terlalu panas tanpa penghawa dingin.
“Kepada orang Bangi, Kajang yang tiada aircond, beri idea sikit macam mana nak tidur dalam suhu microwave (ketuhar gelombang mikro),” selorohnya pada hantaran tersebut.
Hantaran berkenaan meraih pelbagai respons daripada pengguna yang turut berdepan situasi sama, selain tampil berkongsi bermacam-macam ‘petua’ dan teknik kampung untuk menyejukkan bilik tidur.
Menurut pengguna @Hana.mamon09, dia menyarankan kaedah tradisional seperti menadah air dalam baldi di dalam bilik bagi menyerap bahang panas serta meletakkan KoolFever di dahi untuk mengurangkan rasa tidak selesa.
“Tadah air di dalam baldi dan letak di dalam bilik, nanti mesti sejuk. Jenis saya memang ada stok KoolFever, kalau panas sangat boleh tepek kat dahi satu,” ujarnya.
Menurut pengguna @Hye_mymy99 pula, antara langkah awal yang boleh dilakukan adalah dengan memasang ubat nyamuk elektrik dan memakai kelambu.
“Buka tingkap sebesar alam, pasang ubat nyamuk elektrik dan pakai kelambu. Jangan lupa mandi sebelum tidur, dijamin tidur lena,” jelasnya.
“Tidur jela dalam kereta dulu, dah subuh sambung tidur dalam rumah. Aircond kereta memang padu tapi minyak habis pula ye,” seloroh pengguna @Bungaplease.
Terdahulu, fenomena cuaca terik dan tidak berangin yang melanda Selangor sejak beberapa hari lalu menyebabkan ramai penduduk mengadu sukar tidur malam akibat bahang panas yang keterlaluan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Macam mana nak tidur dalam suhu microwave?’ appeared first on Kosmo Digital.




