Auto Added by WPeMatico

PEMERKASAAN wanita bukan lagi sekadar slogan, sebaliknya menjadi agenda penting dalam membentuk masyarakat yang lebih progresif dan inklusif.
Dalam era moden, wanita memainkan pelbagai peranan sebagai profesional, usahawan, ibu, pemimpin komuniti dan ejen perubahan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Selaras dengan aspirasi tersebut, pertandingan Mrs. of Malaysia 2026 membuktikan bahawa platform pertandingan bukan sekadar meraikan kecantikan, malah menjadi medan untuk memperkukuh kepimpinan, advokasi sosial serta pembangunan potensi wanita sudah berkahwin.
Berlangsung dalam suasana penuh gemilang di Grand Ballroom, Palace of the Golden Horses, Kuala Lumpur baru-baru ini, malam kemuncak Mrs. of Malaysia 2026 mengangkat tema ‘Empowered Women, Inspiring Generations’.
Menurut pengarah program, Ayu Omar, tema tersebut sekali gus menonjolkan kepentingan melahirkan wanita yang mampu memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Seramai 11 finalis daripada pelbagai latar belakang profesional termasuk doktor, usahawan dan penggerak komuniti membuktikan bahawa kejayaan seseorang wanita tidak hanya diukur melalui penampilan tetapi juga menerusi kebijaksanaan, pengalaman, kepimpinan serta komitmen terhadap pembangunan masyarakat.
“Apa yang lebih menarik, perjalanan para finalis juga tidak hanya tertumpu kepada persiapan persembahan di pentas akhir,” katanya ketika ditemui K-Wanita pada malam kemuncak pertandingan Mrs. of Malaysia 2026.

Tambahnya, para finalis turut mengikuti latihan kepimpinan, bengkel pembangunan imej diri serta pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pendekatan ini membuktikan bahawa pembangunan sahsiah, kemahiran komunikasi dan keupayaan memimpin menjadi elemen utama dalam melahirkan wanita yang berpengaruh serta mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Kongsi Ayu, bagi edisi tahun ini, program CSR memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi ibu tunggal dan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental.
“Inisiatif tersebut memperlihatkan bahawa pertandingan ini bukan sekadar meraikan kejayaan individu, tetapi turut menyentuh isu-isu masyarakat yang memerlukan perhatian berterusan.
“Melalui pelbagai aktiviti kebajikan, para peserta berpeluang mendekati komuniti, memahami cabaran sebenar yang dihadapi golongan wanita serta menyumbang kepada penyelesaian yang lebih mampan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, dalam masa yang sama, pertandingan ini turut menjadi platform mempromosikan warisan dan pelancongan negara.
Penggunaan elemen songket dan batik pada malam kemuncak menyerlahkan identiti budaya Malaysia, manakala kerjasama mempromosikan perkhidmatan KL Hop-On Hop-Off membantu memperkenalkan tarikan pelancongan tempatan kepada khalayak antarabangsa.

Pendekatan ini membuktikan bahawa wanita juga mampu memainkan peranan sebagai duta budaya dan pelancongan negara.
“Setiap finalis telah melalui transformasi luar biasa sepanjang pertandingan dan kecantikan sebenar seorang wanita terserlah melalui visi, kepimpinan serta sumbangan bermakna kepada keluarga dan negara.
“Kenyataan itu selari dengan matlamat pertandingan yang mahu melahirkan ikon wanita moden yang berdikari, berkeyakinan dan mempunyai nilai kemanusiaan tinggi,” tambahnya.
Kemuncak pertandingan menyaksikan Dr. Wandarl dinobatkan sebagai Mrs. of Malaysia 2026 selepas berjaya memikat hati panel juri menerusi sesi soal jawab yang menilai pandangan mengenai peranan wanita moden dalam mendepani cabaran sosial global.
Kemenangan Dr. Wandarl atau Dr. Dalila Hazmy turut membuka peluang buatnya mewakili Malaysia di pertandingan I AM Model Search Mrs International 2026, sekali gus membawa suara wanita Malaysia ke pentas antarabangsa.
Menurut Dr. Wandarl, gelaran tersebut bukan sekadar satu pencapaian peribadi, malah merupakan amanah besar untuk memperjuangkan pelbagai agenda advokasi sepanjang tempoh pemerintahannya.
“Status sebagai isteri dan ibu bukanlah penghalang kepada kejayaan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan yang mampu mendorong wanita terus menyumbang kepada masyarakat.
“Pandangan itu mencerminkan perubahan persepsi terhadap wanita berkahwin yang kini semakin diberi ruang untuk berkembang dalam pelbagai bidang tanpa perlu mengetepikan tanggungjawab terhadap keluarga,” ujarnya.
Katanya lagi, Mrs. of Malaysia 2026 membuktikan bahawa pertandingan seumpama ini mampu menjadi platform yang efektif dalam memperkasa wanita.
“Kejayaan saya dan para finalis menjadi inspirasi bahawa wanita hari ini bukan sahaja mampu mengimbangi kerjaya dan keluarga, malah berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Dengan memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan, advokasi sosial, tanggungjawab komuniti serta pemeliharaan warisan budaya, ia membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk tampil sebagai pemimpin yang mampu mencetuskan perubahan positif,” kongsinya.
The post Pemerkasaan wanita diperkukuh melalui platform Mrs. of Malaysia 2026 appeared first on Kosmo Digital.
