Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Lebih 10 Ahli Parlimen pembangkang dikatakan menunjukkan minat untuk kembali menyertai UMNO selepas melihat pendekatan terbuka dan berlapang dada yang dibawa kepimpinan parti itu ketika ini.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki yang memaklumkan bahawa kebanyakan pemimpin pembangkang yang pernah bertanding menentang Barisan Nasional kini mula menunjukkan kecenderungan untuk kembali ke “rumah besar” parti berkenaan.
Menurut beliau, beberapa sesi pertemuan dan perbincangan telah diadakan bersama pihak terlibat menerusi jawatankuasa tertentu bagi membincangkan perkara tersebut.
“Memang ada halangan, tetapi saya boleh katakan kebanyakan mereka yang bersetuju amat berminat untuk menyertai kembali rumah bangsa.
“Yang dimaksudkan ialah Ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang yang sebelum ini bertanding melawan Barisan Nasional,” katanya kepada media.
Beliau berkata, selain pemimpin utama, kemasukan semula turut melibatkan penyokong di peringkat akar umbi yang datang secara berkumpulan ke bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara.
Katanya, jumlah sebenar mereka yang kembali menyertai parti masih belum dapat dipastikan kerana kemasukan berlaku hampir setiap hari.
“Presiden juga meminta semua bahagian mengambil pendekatan proaktif untuk mendekati mereka.
“Kalau orang yang pernah memaki hamun dan memfitnah Presiden pun boleh dimaafkan, apa salahnya kita di peringkat bahagian berlapang dada,” ujarnya.
Ketika ditanya jumlah Ahli Parlimen yang dikatakan berminat menyertai semula UMNO, beliau mengesahkan angka itu melebihi 10 orang. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 10 Ahli Parlimen pembangkang berminat sertai semula UMNO appeared first on Kosmo Digital.
